(Terjemahan kepada karya
John Gilchrist yang bertajuk
"Origins
and Sources of the Gospel of Barnabas")
Pendahuluan
1. Adakah Barnabas pengarang sebenarnya?
2. Bukti-bukti mengenai asal-usulnya dari Zaman
Pertengahan
3. Bukti-bukti lain yang menentang ketulenannya.
4. Siapakah penulis sebenar kitab yang palsu ini?
Bibliografi: Buku-buku dan artikel-artikel
Pendahuluan
Walaupun dewasa ini, Injil Barnabas telah teredar luas ke dunia pengaruh Islam dalam pelbagai terjemahan, sebahagian besar kaum Muslim belum pernah melihat salinan kitab ini dengan mata sendiri. Akan tetapi, pengetahuan mengenai kuwujudannya agak meluas di kalangan Islam.
Sejak tahun 1973, terjemahan Injil Barnabas dalam Bahasa Inggeris oleh Lonsdale dan Laura Ragg telah dicetak semula oleh Begum Aisha Bawany Wakf di Pakistan dan sebilangan naskhah-naskhah yang dicetak semula ini telah diedar luas di dunia. Akan tetapi, kebanyakan kaum Muslim jahil mengenai kitab ini dan isi kandungannya.
Keadaan ini seperti kejahilan yang girang. Sudah terlalu lama, kaum Muslim telah diyakinkan bahawa kitab inilah yang mengandungi ajaran sebenar mengenai kehidupan dan ajaran Hazrat Isa. Kitab ini mendakwa bahawa Hazrat Isa bukan Anak Allah, tidak disalibkan, dan telah mengisyaratkan kedatangan Muhammad. Akibatnya, beberapa orang Muslim percaya bahawa inilah Injil yang sebenarnya diturunkan kepada Hazrat Isa. Sebaliknya, Injil Barnabas tidak menuntut dirinya sebagai Injil itu, tetapi membezakan dirinya dengan kitab yang diberikan kepada Hazrat Isa. Perenggan di bawah menunjukkan perbezaan yang amat nyata ini:
Malaikat Jibril mempersembahkan kepadanya sebuah kitab seolah-olah ianya satu cermin yang berkilauan, yang telah turun ke dalam hati Hazrat Isa, di mana dia berpengetahuan mengenai apa yang telah dilakukan dan dititahkan Allah. Sebarang apa yang telah ditakdirkan Allah, semuanya dijelaskan dan dibuka kepadanya; sambil dia berpesan kepada aku: Percayalah, Barnabas, bahawa aku kenal setiap nabi dengan setiap wahyunya, kebanyakan yang aku berfirman mengenai kesemuanya telah datang dari kitab itu. (Injil Barnabas, ms.9)
Orang Muslim lain berpendapat bahawa Injil Barnabas ialah "perjanjian asal" dan kaum Kristian telah menggantikannya dengan "Perjanjian Baru". Sikap begini menunjukkan sikap kejahilan yang nyata, bukan sahaja terhadap Injil Barnabas, malah juga kepada binaan isi kandungan Al-Kitab Kristian, iaitu Bible.
Oleh kerana kami yakin bahawa kejahilan adalah satu kejahatan - tidak kira betapa girangnya - dan ia adalah pembantu kepada kesilapan, kami berpendapat adalah wajib kami kemukakan fakta-fakta mengenai Injil Barnabas kepada kaum Muslim di mana-mana juga, dan tunjukkan bahawa kitab ini adalah hasil gubahan Zaman Pertengahan. Kaum Muslim patut mengaku sekaligus bahawa Injil Barnabas tidak ada apa-apa nilai sejarah pun dan harus menolaknya sebagai catatan benar mengenai kehidupan dan ajaran Nabi Hazrat Isa demi kebenaran.
Buku kecil ini tidak bertujuan untuk menambah kepada kajian-kajian yang dikendalikan oleh golongan terpelajar di dalam dunia Kristian dari segi pengetahuan latar belakang dan asal-usul Injil Barnabas. Untuk kegiatan tersebut, kami amat terhutang budi kepada keluarga Raggs yang menjadi orang pertama menterjemah Injil Barnabas dan juga kepada Gairdner, Jomier serta Slomp yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam nama kebenaran membawa kepada kita bukti-bukti teguh mengenai kepalsuan Injil Barnabas. Akan tetapi, kami berusaha menyampaikan di sini ringkasan jelas kajian-kajian itu supaya saudara-saudari Muslim kami dapat menyaksikan bahawa Injil Barnabas itu adalah satu kepalsuan yang telah menjadi red herring (iaitu perbuatan menimbul perkara yang tidak ada kaitannya untuk mengalihkan perhatian daripada pokok perbincangan) kepada kegiatan apologetik Kristian-Muslim moden.
Kami berniat menyampaikan kepada komuniti Muslim walau dalam cara yang kecil, buah hasil kajian-kajian ini kerana kami benar-benar percaya bahawa adalah perkara yang menyedihkan bagi sesiapa yang menerima kitab ini sebagai satu kesaksian benar mengenai kehidupan Kristus Yesus.
Oleh kerana kami percaya bahawa tidak ada pencinta kebenaran yang mahu tertipu buat selamanya, kami akan membuka rahsia asal-usul dan punca Injil Barnabas kepada pembaca-pembaca Muslim. Kami percaya pembaca-pembaca akan menggunakan buku kecil ini dengan hasrat tulen mahu mengetahui mengenai Injil Barnabas dari segi keaslian dan zaman gubahannya - dan akan tiba kepada satu kesimpulan yang adil daripada bukti-bukti yang disediakan di dalam lembaran-lembaran buku ini.
1. Adakah Barnabas pengarang sebenarnya?
Kitab ini mengaku dirinya sebagai satu Injil dan pengarangnya sebagai seorang rasul yang bernama Barnabas. Oleh itu, kita harus bermula dengan menyelidiki siapakah sebenarnya Barnabas dan adakah dia pengarang kitab ini? Untuk tujuan ini, kita mesti membandingkan pengetahuan yang kita ada mengenai rasul Barnabas yang tulen di dalam Al-Kitab dengan pengakuan pengarang Injil Barnabas. Di dalam kitab Barnabas ini, dua ulasan pada permulaan dan penutupnya membantu kami untuk perjuangan ini. Mereka adalah:
Ramai, yang diperdaya oleh Iblis, di bawah kepuraan beribadat, berkhutbah mengenai ajaran yang tidak beriman, menggelar Hazrat Isa sebagai anak Allah, membantahi khatan (sunat) yang ditentukan Allah buat selama-lamanya, dan menghalalkan semua daging yang tidak suci: antaranya ialah Paulus yang juga terpedaya. (Injil Barnabas m.s. 2)
Ada di antaranya yang berkhutbah bahawa dia benar-benar mati, tetapi hidup kembali. Ada yang berkhutbah, dan masih berkhutbah, bahawa Hazrat Isa adalah anak Allah, di antara mereka ialah Paulus yang terpedaya. (Injil Barnabas m.s .273)
Pengarang kitab ini menggunakan bahasa yang keras untuk mengumpat ajaran Paulus, khususnya mengenai khatan, hal penyaliban, kematian dan kebangkitan Hazrat Isa, dan kepercayaan Kristian bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah. Kitab ini dipenuhi dengan bicara-bicara yang dilemparkan terhadap ajaran-ajaran Paulus yang dimarahi pengarang kitab ini. Maka tidak hairanlah bahawa pengarang kitab ini terpisah jauhnya daripada Paulus dan asas agamanya serta bertentangan dengan khutbah dan ajarannya.
Inilah salah satu daripada bukti-bukti yang menyanggah kesahihan kitab ini kerana sesiapa yang menulisnya dengan senang menyertakan nama "Barnabas" sebagai pengarangnya, sedangkan dengan meneliti profil Barnabas secara singkat saja, sudah cukup untuk membuktikan bahawa rasul tersebut memang bukan pengarang kitab ini.
Dengan ringkas, mari kita menyiasat mengenai sejarah Barnabas yang terkandung di dalam Al-Kitab. Dia hanya muncul di kalangan rasul-rasul setelah kenaikan Hazrat Isa ke syurga semasa gereja Kristian awal mula bertapak di tanah Palestin. Sebagai tanda keimanan dan kasih sayang kepada saudara-saudaranya, dia telah menjual sebidang tanah kepunyaannya dan menyerahkan hasil penjualannya kepada rasul-rasul untuk dibahagikan mengikut budi bicara mereka kepada saudara-saudara mereka yang kekurangan. Budi pekertinya telah menjadi satu sumber penggalakan kepada mereka yang percaya dan rasul-rasul telah menamakan dia "Bar-nabas" yang bermaksud "anak penghiburan ". Sebelum itu, dia hanya dikenali dengan nama umumnya Yusuf. (Kisah Para Rasul 4:36)
Di sini pengarang Injil Barnabas telah membuat kesilapan pertamanya yang ketara kerana dia sangka di dalam kitabnya bahawa bukan sahaja Barnabas itu satu daripada pengikut-pengikut Hazrat Isa semasa pelayanannya di atas bumi, malah dia juga telah dikenali dengan nama "Barnabas" seluruh masa pelayanan Hazrat Isa. Lebih dari sekali di dalam kitab ini, Hazrat Isa didakwa menggelarkannya dengan nama Barnabas dan kali pertama ini berlaku adalah pada permulaan kitab ini. Ia berbunyi:
Hazrat Isa menjawab: Janganlah begitu sedih, wahai Barnabas; kerana sesiapa yang telah dipilih Allah sebelum permulaan dunia tidak akan binasa (Injil Barnabas, m.s. 21)
Sekarang sudah ternyata kesalahan zaman (anachronisme) yang membinasakan kemungkinan bahawa kitab ini ditulis oleh rasul Barnabas. Rasul-rasul hanya memberikannya nama "Barnabas" setelah kenaikan Hazrat Isa ke syurga akibat budi pekertinya. Akan tetapi, Injil Barnabas membuat Hazrat Isa memanggilnya dengan nama "Barnabas" lebih kurang tiga tahun sebelum kenaikan Hazrat Isa ke syurga. Ini adalah satu bantahan serius - dan pada pandangan kami - satu kecelakaan kepada tuntutan bahawa kitab ini dikarang oleh rasul Barnabas.
Apabila kita meneruskan pengkajian mengenai kehidupan Barnabas, kami mendapati bukti lain yang memusnahkan dakwaan bahawa Barnabaslah pengarang kitab ini. Kali kedua Barnabas muncul dalam kejadian-kejadian Gereja awal adalah semasa lawatan pertama Paulus kepada rasul-rasul di Yerusalem. Oleh kerana rasul-rasul itu tahu akan kekerasan Paulus dalam penindasan dan penganiayaan Kristian pada masa itu (kerana mereka percaya bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah), rasul-rasul dan kaum Kristian lain mengesyaki keikhlasan Paulus bertaubat kepada keimanan mereka. Memanglah satu perkara yang membuka mata, di bawah keterangan serangan Injil Barnabas ke atas Paulus, untuk mengetahui siapakah sebenarnya yang bersusah-payah memberi jaminan kepada saudara-saudara di Yerusalem bahawa Paulus telah menjadi seorang pengikut:
Tetapi Barnabas menerima dia dan membawanya kepada rasul-rasul dan menceritakan kepada mereka, bagaimana Paulus melihat Tuhan di tengah jalan dan bahawa Tuhan berbicara dengan dia dan bagaimana keberaniannya mengajar di Damsyik dalam nama Yesus. Kisah Para Rasul 9:27
Kami sekarang dihadapi dengan satu rangkaian bukti serius kedua yang menentang cadangan bahawa Barnabas adalah pengarang "Injil" yang diberikan namanya. Cuma tujuh ayat terdahulu, kami baca bahawa semasa Paulus sedang berkhutbah di khalayak orang ramai di dalam rumah ibadat yang berada di kota Damascus, "dengan segera dia menyatakan mengenai Hazrat Isa, Yesus adalah Anak Allah." (Kisah Para Rasul 9:20). Apabila Paulus datang ke Yerusalem, Barnabaslah yang bersemangat mempertahankan dia sebagai seorang pengikut Hazrat Isa.
Begitulah perbandingan yang begitu ketara dengan kitab di mana pengarangnya, yang dikatakan sebagai Barnabas telah memarahi Paulus yang mengkhabarkan bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah. Tetapi Barnabas yang benar ialah orang-kanan Paulus; Paulus yang mengajar mengenai Hazrat Isa, Anak Allah di tempat awam. Barnabas inilah yang telah memperkenalkan dia di kota Yerusalem dan gigih berusaha meyakinkan rasul-rasul di sana mengenai kebenaran Paulus.
Kami akan menunjukkan di dalam buku ini kelak bahawa Injil Barnabas ditulis pertama kalinya tidak awal dari empat belas abad selepas Hazrat Isa dan pengarangnya, sesiapa dia, telah memilih nama Barnabas sebagai pengarang kitab palsu yang jahat ini. Penyelidik-penyelidik yang menyiasat kitab ini secara mendalam (telah dinamakan awal tadi), telah cuba menjawab juga soalan kenapa pengarang sebenar kitab ini menggunakan nama Barnabas sebagai pengarang andainya. Satu atau dua teori yang mungkin telah dikemukakan tetapi belum ada sebab-sebab yang munasabah kenapa dia berbuat demikian.
Tetapi ada satu perkara yang kami tahu - pengarang sebenar Injil Barnabas telah membuat pilihan yang paling teruk mengenai "pengarang" kitabnya iaitu Barnabas. Dia telah menulis kitab ini sebagai penentangan terhadap "Kekristenan/Kristianiti Ajaran Paulus", dan tanpa berfikir panjang, memilih sebagai pengarangnya orang yang selalu berada di sisi Paulus Barnabas yang memuji dia sebagai pengikut Hazrat Isa dan mengesahkan khutbahnya ke mana-mana saja dia pergi. Secara terus terang, pengarang Injil Barnabas yang menentang ajaran Paulus, telah memilih sebagai pengarang kitab ini orang yang menyokong paling aktif ajaran Paulus berbanding dengan orang yang lain semasa pelayanan Paulus. Barnabas adalah saudara-darah Paulus dalam rohani. Pengarang sebenar kitab ini untuk kali kedua telah melakukan satu kesilapan ketara dengan menyarankan rasul Barnabas sebagai pengarang "Injil" palsu yang dikarangnya sendiri.
Apabila kita mendalami kehidupan Barnabas, hakikat ini menjadi lebih jelas. Semasa jemaah di kota Yerusalem mendapat tahu yang jemaah di kota Antiokhia sedang membesar dengan sempurna, rasul-rasul telah memutuskan untuk menghantar Barnabas ke sana untuk mengambil-alih ajaran dan pengajaran mereka yang baru beriman. Tetapi Barnabas, mengikut kehendak sendiri, telah memutuskan bahawa dia tidak dapat mengendalikan kerja ini seorang diri, dan perlu mendapat pertolongan seorang saudara seiman untuk kerja ini. Tanpa was-was, Barnabas terus pergi ke Tarsus di Asia Kecil untuk mencari Paulus dan justeru, membawa dia ke Antiokhia sebagai penolongnya dalam pengajaran di jemaat kota itu.:
Mereka tinggal bersama-sama dengan jemaat itu satu tahun lamanya, sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhialah murid-murid itu untuk pertama kalinya disebut Kristian. Kisah Para Rasul 11:26
Di bawah pelayanan padu Paulus dan Barnabas, pengikut-pengikut Kristus buat pertama kalinya digelar sebagai Kristian kerana Barnabas memperjuangkan "Kekristenan/Kristianiti Ajaran Paulus" yang ditentang oleh Injil Barnabas. Selepas ini, Paulus dan Barnabas pergi ke kota Yerusalem dengan bantuan untuk saudara-saudara yang menghadapi kebuluran yang berlaku di situ semasa pemerintahan maharaja Roma, Klaudius (Kisah Para Rasul 11:28-30). Selepas itu, Paulus dan Barnabas pulang ke Antiokhia (Kisah Para Rasul 12:25). Mereka terus mengetuai gereja di sana dan kelak, dihantar oleh gereja untuk memberitakan Injil di daerah Galatia (sekarang dikenali sebagai sebahagian negara Turki).
Ke mana juga mereka pergi, mereka tetap berkhutbah bahawa Hazrat Isa adalah Anak Allah, dan Allah telah membangkitkannya dari kubur (Kisah Para Rasul 13:33). Akan tetapi, pengarang Injil Barnabas mahu kita percaya bahawa Barnabas adalah seteru atau musuh ketat Paulus dalam hal-hal ini! Kami juga mendapati mereka menyampaikan bahawa hukum-hukum Yahudi yang menghadkan (contohnya khatan) tidak patut dipaksakan ke atas golongan bukan bangsa Yahudi dan tidak seharusnya menjadi satu keperluan untuk penyelamatan. Peristiwa menarik yang berlaku di dalam pelayanan padu mereka dirakamkan di dalam perkataan-perkataan berikut:
Beberapa orang datang dari Yudea ke Antiokhia dan mengajarkan kepada saudara-saudara di situ: "Jikalau kamu tidak disunat munurut adat istiadat yang diwariskan oleh Musa, kamu tidak dapat diselamatkan." Tetapi Paulus dan Barnabas dengan keras melawan dan membantah pendapat mereka itu. Akhirnya ditetapkan, supaya Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain dari jemaat itu pergi kepada rasul-rasul dan penatua-penatua di Yerusalem untuk membicarakan soal itu. (Kisah Para Rasul 15:1-2)
Beberapa orang Yudaiser (iaitu golongan orang Yahudi beragama Kristian yang percaya antaranya, bahawa sebilangan upacara-upacara keagamaan dalam Perjanjian Lama masih berkuatkuasa ke atas gereja Perjanjian Baru) telah datang kepada kaum Kristian, dan menyatakan bahawa berkhatan (bersunat) itu perlu untuk penyelamatan. Siapakah pula yang kami temui berbahas dengan mereka mengenai persoalan itu? Paulus dan Barnabas!
Akan tetapi, dalam Injil Barnabas, kita baca bahawa salah satu daripada "asas agama yang tidak beriman" yang dipegang Paulus adalah pembantahan kepada amalan berkhatan. Kami mengaku bahawa memang benar dia membantahi kewajipan amalan berkhatan untuk penyelamatan (Galatia 5:2-6) tetapi orang utama yang menyokong dia tidak lain daripada Barnabas! Sekali lagi pengarang kitab Barnabas telah membuat kesilapan dengan menjadikan Barnabas pengarang kitabnya yang palsu.
Memang, mengikut Injil Barnabas, Hazrat Isa dikatakan telah bersabda kepada pengikut-pengikutnya:
Biarkan ketakutan kepada mereka yang tidak berkhatan, kerana mereka memecat diri dari syurga. (Injil Barnabas, m.s.26)
Oleh itu, berkhatan adalah satu kewajipan untuk penyelamatan manusia di dalam Injil Barnabas dan pengarangnya telah bersetuju akan asas agama ini. Tetapi Barnabas yang benar telah bersepadu dengan Paulus dan menentang kuat asas agama orang Yudaiser yang menyebut perihal berkhatan sebagai kewajipan untuk penyelamatan. Jadi nyatalah sekarang bahawa Barnabas yang tulen bukan pengarang kitab ini yang memakai namanya dan sesiapa yang mengarang kitab palsu ini telah menyalahgunakan namanya.
Penerbit kitab Injil Barnabas (Begum Aisha Bawany Wakf) memang sedar akan tujuan utama kitab ini yang menentang "Kekristenan/Kristianiti Ajaran Paulus". Di dalam apendiks bertajuk "Life and Message of Barnabas" mereka menuduh bahawa petikan mengenai perbahasan masalah berkhatan menunjukkan perbalahan di antara Paulus dan Barnabas. Mereka memetik dari Kisah Para Rasul 15:2 dan tanpa sebarang malu mengulas: "Selepas perkelahian ini, terdapat perpisahan" di antara Paulus dan Barnabas (Injil Barnabas, m.s. 279). Tetapi amat jelas bahawa perbalahan itu bukan di antara Paulus dan Barnabas mengenai masalah berkhatan tetapi di antara orang dari Yudea yang memuliakan amalan berkhatan dengan Paulus dan Barnabas yang keras menentang pemesongan agama Hazrat Isa oleh tradisi dan pembatasan yang tidak dapat menyelamatkan. Oleh kerana apendiks ini dapat dijumpai di semua edisi Injil Barnabas yang diterbitkan hari ini, kami mesti berkata bahawa artikel itu cumalah pendustaan yang sengaja terhadap hubungan sebenar di antara Paulus dan Barnabas. Penulis artikel itu telah mengetepikan suara hati dalam percubaannya memaksa teori Injil Barnabas bahawa Paulus dan Barnabas tidak bersetuju mengenai ajaran agama yang asas.
Tidak terdapat sebarang bukti pada bila-bila masa yang menunjukkan pertelingkahan di antara Paulus dan Bernabas mengenai ajaran agama yang asas. Mereka pernah bertengkar mengenai hal peribadi yang kecil saja apabila Paulus tidak ingin membawa bersamanya Markus Yahya dalam perjalanan dakwah kerana dia telah berpatah balik dahulu semasa dalam perjalanan ke daerah-daerah Galatia (Kisah Para Rasul 15:38-40). Malah hal ini adalah hal peribadi yang jelas telah diselesaikan sebagaimana yang dapat dilihat di dalam kitab suci (Kolose 4:10 dan 2 Timotius 4:11). Di tempat lain, Barnabas didapati bersalah kerana diskriminasinya bersama-sama orang Kristian bangsa Yahudi di Antiokhia apabila mereka enggan makan bersama-sama orang Kristian bukan bangsa Yahudi (Galatia 2:13). Paulus menegur keras perkara ini tetapi ini bukanlah mengenai hal-hal ajaran agama asas tetapi perhubungan umum di kalangan semua orang Kristian, tidak kira latar belakang mereka. Perkara-perkara ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dasar asas agama yang disebar Paulus dan Barnabas iaitu bantahan berkhatan sebagai satu kewajipan untuk diselamatkan, penyaliban dan kebangkitan Hazrat Isa dari kubur dan asas agama iaitu Hazrat Isa adalah Anak Allah. Lebih tepat lagi, ada bukti menyeluruh bahawa Barnabas adalah tunggul sokongan semua ajaran agama yang diajar Paulus.
Surat Paulus kepada kaum Kristian yang berada di Galatia telah membantu kami mengerti kebenaran hakikat ini. Di dalam bab kedua kami baca bahawa Paulus dan Barnabas pergi ke kota Yerusalem - dan membawa bersama Titus dari bangsa Yunani yang tidak berkhatan, sebagai kes percubaan menentang kewajipan berkhatan (Galatia 2:1). Tetapi Titus tidak terpaksa untuk dikhatan nyatalah hasil keyakinan hujah-hujah Paulus dan Barnabas menentang amalan berkhatan sebagai satu kewajipan untuk penyelamatan.
Bukan sahaja rasul-rasul di kota Yerusalem bersetuju dengan Paulus dan Barnabas bahawa amalan berkhatan tidak perlu, tetapi sepertimana yang dikatakan oleh Paulus, mereka "berjabat tangan dengan aku dan dengan Barnabas sebagai tanda persekutuan" (Galatia 2:9). Sekali lagi, simpati dan perpaduan di antara Barnabas dan Paulus timbul dengan jelas dan ia adalah nyata di kalangan gereja awal, bila-bila sahaja kaum Kristian di kota Yerusalem mengenang kembali Barnabas, mereka akan terus menyekutukannya dengan Paulus.
Dalam Galatia bab 3, kami mempunyai bukti lanjut sesungguhnya Barnabas adalah seorang Kristian di dalam semua perkara dan bukannya seorang yang membantahi agama Kristian sebagaimana cara pengarang Injil Barnabas. Paulus, yang bersedih kerana orang Galatia menyangka perkara yang kecil seperti amalan berkhatan adalah satu kewajipan untuk penyelamatan mereka, dengan terbuka menegur mereka kerana hilangnya pandangan mereka mengenai kemewahan dan keseluruhan kerja yang dilakukan Hazrat Isa sendiri melalui kematiannya di atas salib, yang menjadikan penyelamatan satu realiti kepada kaum manusia. Paulus menegur mereka dengan perkataan-perkataan berikut, yang nyata menunjukkan pesanan yang terkandung di dalamnya:
Hai orang-orang Galatia yang bodoh, siapakah yang telah mempersona kamu? Bukankah Yesus Kristus yang disalibkan itu telah dilukiskan dengan terang di depan mu? (Galatia 3:1)
Kita mesti bertanya: siapakah yang mengatakan "Yesus Kristus sebagai disalibkan itu telah dilukiskan dengan terang di depan mu" di hadapan orang-orang Galatia? Siapakah yang pertama kali berkhutbah kepada mereka Injil Yesus? Paulus dan Barnabas! Jadi dari surat ini kita ada bukti lanjut yang konkrit bahawa Barnabas justeru memperjuangkan Injil yang Paulus khabarkan. Sememangnya Barnabas bukan sahaja seorang rasul Kristian yang benar tetapi dalam persaudaraan Kristian telah memilih Paulus sebagai rakan eratnya. Oleh itu, rasul Barnabas bukanlah pengarang Injil Barnabas.
Perpaduan di dalam misi dan tujuan Paulus dan Barnabas akhirnya dijelaskan dengan teliti dengan ringkasan aktiviti-aktiviti mereka seperti berikut:
"Penganut-penganut agama Yahudi yang takut kepada Allah, mengikuti Paulus dan Barnabas. Kedua-dua orang rasul itu mengajar mereka dan menasihati supaya mereka tetap hidup di dalam kasih karunia Allah (Kisah Para Rasul 13:43) Tetapi dengan berani Paulus dan Barnabas berkata (13:46) Orang-orang Yahudi menimbulkan penganiayaan atas Paulus dan Barnabas (13:50) Keesokan harinya berangkatlah ia bersama-sama dengan Barnabas ke Derbe (14:20) Paulus dan Barnabas dengan keras melawan dan membantah pendapat mereka (15:2) lalu mereka mendengarkan Paulus dan Barnabas menceritakan segala tanda dan mujizat yang dilakukan Allah dengan perantaraan mereka di tengah-tengah bangsa-bangsa lain (15:12) Maka rasul-rasul dan penatua-penatua berserta seluruh jemaat itu mengambil keputusan untuk memilih dari antara mereka beberapa orang yang akan diutus ke Antiokhia bersama-sama dengan Paulus dan Barnabas (15:22) Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, iaitu dua orang yang telah mempertaruhkan nyawanya kerana name Tuhan kita Yesus Kristus (15:26) Paulus dan Barnabas tinggal beberapa lama di Antiokhia. Mereka bersama-sama dengan banyak orang lain mengajar dan menberitakan firman Tuhan (15:35)".
Terdapat perbezaan yang begitu ketara di antara Barnabas yang tulen, yang telah memilih Paulus sebagai sahabatnya di dalam semua perkara yang disebutkan tadi, dengan pengarang samaran Injil Barnabas yang menentang Paulus dan ajarannya. Kami tidak dapat membuat keputusan lain mengenai Injil Barnabas melainkan menggelarkannya sebagai satu kepalsuan. Ianya bukan ditulis oleh Barnabas tetapi ditulis oleh seorang yang telah membuat kesilapan ketara dalam tipu-muslihatnya dengan memilih nama rakan karib Paulus sebagai pengarang kitabnya.
Terdapat dua perkara dari isi kandungan Injil Barnabas yang juga menunjukkan bahawa pengarang itu bukannya rasul Barnabas yang sebenar. Pertama, kitab ini selalu membuat Hazrat Isa menafikan yang dia adalah Al-Masih, akan tetapi kitab ini juga selalu mamanggil Hazrat Isa dengan gelaran "Kristus" (m.s. 2). Sesiapa yang tahu serba sedikit tentang bahasa Yunani akan tahu bahawa "Kristus" adalah terjemahan "Al-Masih" dan "Yesus Kristus" ialah "Iesous Kristus" dalam bahasa Yunani yang bermaksud "Hazrat Isa Al-Masih". Perselisihan yang begitu senang dilihat di dalam Injil Barnabas juga membuktikan bahawa pengarangnya bukan Barnabas yang tulen. Barnabas berasal dari kepulauan Siprus di mana bahasa Yunani adalah bahasa lingua franca, dan bahasa Yunani adalah bahasa percakapan Barnabas pada masa itu. Barnabas yang tulen tidak akan membuat kesilapan sebegitu sehingga memanggil Hazrat Isa sebagai Kristus dan menafikan dia sebagai Al-Masih!
Kedua, pengarang Injil Barnabas memilih untuk tidak mengetahui mengenai pelayanan Yohanes Pembaptis (Yahya) di dalam kitabnya tetapi telah memesongkan kesaksian Yohanes Pembaptis mengenai Hazrat Isa sehingga menjadi kesaksian Hazrat Isa mengenai Muhammad. Sama ada Hazrat Isa meramalkan ketibaan Muhammad atau tidak bukannya masalah di sini. Apa yang nyata bagi sesiapa yang pernah membaca mengenai kehidupan Hazrat Isa di dalam Al-Kitab ialah, pengarang Injil Barnabas cuba membuat Hazrat Isa sebagai bentara kedatangan Muhammad di dalam tempat Yohanes Pembaptis yang menjadi bentara kedatangan Hazrat Isa. Untuk membuat demikian, pengarang Injil Barnabas telah menggantikan Yohanes Pembaptis dengan Hazrat Isa dan membuat Hazrat Isa berkata mengenai Muhammad apa yang dikatakan Yohanes Pembaptis mengenai Hazrat Isa!
Sememangnya pengarang Injil Barnabas terpaksa melangkaukan orang dan pelayanan Yohanes Pembaptis daripada kitabnya. Akan tetapi kisah yang tercatat di dalam Al-Kitab (Matius fasal 3, Yohanes fasal 1 dan 3) dan Al-Quran (Surah 3:39) mengenai pelayanan Yohanes Pembaptis sebagai bentara Hazrat Isa amat jelas dan nyata. Kedua-dua kisah itu membongkar tipu muslihat pengarang Injil Barnabas. Amat jelas bahawa Barnabas yang tulen, yang dikatakan sebagai "orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman" (Kisah Para Rasul 11:24) sepanjang hayatnya tidak berupaya membuat kepalsuan dan mengatakannya sebagai kebenaran.
Kami membuat kesimpulan adanya banyak bukti-bukti yang kukuh bahawa Barnabas yang tulen sememangnya bukan pengarang Injil Barnabas yang tersebar luas dewasa ini di dalam dunia Islam. Marilah kita sekarang menyelidiki bukti-bukti yang terdapat di dalam Injil Barnabas untuk meneliti sama ada kitab ini mempunyai sebarang kredibiliti, atau adakah ia bukan sebenarnya kepalsuan jelas yang sengaja disebarkan di perantaraan dunia kaum Muslim sebagai khidmat kepada Iblis dan pengaruhnya.
2. Bukti mengenai asal-usulnya dari Zaman Pertengahan
Kami mendapati banyak bukti di dalam Injil Barnabas yang menunjukkan ia gubahan semasa Zaman Pertengahan beberapa kurun selepas Hazrat Isa dan Muhammad.
a) Hari Raya Yobel
Pada zaman Musa, Allah firmankan bangsa Yahudi meraikan Hari Raya Yobel dua kali dalam satu abad:
Tahun yang kelima puluh itu harus menjadi tahun Yobel bagimu (Imamat 25:11)
Berabad-abad firman ini dipatuhi dan gereja Roma Katolik telah mengambilnya ke dalam iman Kristian. Pada sekitar 1300 AD Paus Boniface ke lapan menitahkan supaya pesta Yobel disambut setiap seratus tahun. Selepas kematian Boniface, Paus Clemens ke enam menitahkan pada 1343 AD bahawa Hari Raya Yobel patut disambut pada tahun ke lima puluh, sepertimana yang dipatuhi oleh bangsa Yahudi semasa zaman nabi Musa. Sekarang mari kita perhatikan apa yang Hazrat Isa didakwa telah katakan di dalam Injil Barnabas:
"Setelah itu Allah akan disembah di seluruh dunia, rahmat diterima, sepertimana tahun Yobel, yang sekarang datang sekali seratus tahun, akan Al-Masih kurangkan menjadi setahun sekali di merata tempat" (Injil Barnabas m.s.104)
Hanya satu penyelesaian yang dapat menjelaskan perselisihan ini. Pengarang Injil Barnabas hanya dapat menulis Hazrat Isa sebagai berkata demikian jika dia tahu akan titah Paus Boniface. Tetapi bagaimana dia tahu mengenai titah itu selain daripada jika dia hidup pada atau selepas zaman Boniface? Ini adalah kesalahan zaman (anachronisme) yang nyata dan terpaksalah kita menyimpulkan bahawa Injil Barnabas ditulis selewat-lewatnya dalam abad ke 14 Masihi.
Ini juga bermakna bahawa Injil Barnabas dikarang sekurang-kurangnya 700 tahun selepas zaman Muhammad dan inilah yang menyebabkannya tanpa sebarang nilai sejarah pun. Walaupun Injil Barnabas kerap membuat Hazrat Isa meramal kedatangan Muhammad dengan menyebut namanya (kerana inilah kitab ini menjadi paling laris dijual dalam dunia Islam hari ini), tetapi kerana ia ditulis selepas kematian Muhammad, "ramalan-ramalan" ini tidak berguna langsung. Sememangnya Injil Barnabas mengandungi banyak perbincangan dan adat yang berbau ajaran Islam yang asas semua ini tidak bernilai langsung kerana ia ditulis sekurangnya-kurangnya 700 tahun selepas kedatangan Islam.
Ramalan yang ditulis ratusan tahun selepas perkara itu telah berlaku tidak bermakna dan tidak bernilai, seperti ramalan cuaca untuk hari yang lepas. Kami menyimpul, dari ayat mengenai Hari Raya Yobel bahawa Injil Barnabas dikarang tidak awal daripada abad ke-14 Masihi. Mari kita terus menyelidik bukti selanjutnya yang menunjukkan keasalannya dari Zaman Pertengahan.
b) Petikan daripada karya Dante
Dante adalah seorang berbangsa Itali, yang hidup pada zaman Paus Boniface dan telah menulis "Divina Comedia" yang terkenal pada abad ke-14. Buku itu adalah cerita fantasi mengenai neraka, akraf dan syurga mengikut kepercayaan gereja Roma Katolik pada zaman itu.
Dalam Injil Barnabas, Hazrat Isa ditulis sebagai berkata mengenai nabi-nabi lalu:
"Dengan keadaan siap-sedia dan riang mereka menempuh maut, supaya tidak berdosa kepada hukum Allah yang diberikan kepada Musa hambaNya dengan berkhidmat kepada tuhan-tuhan palsu yang berbohong" (Injil Barnabas m.s.27)
Terdapat beberapa sebutan "tuhan-tuhan palsu yang berbohong" lain yang dijumpai dalam Injil Barnabas juga. Pada satu tempat, Hazrat Isa sekali lagi dibayangkan menggunakan sebutan ini (m.s. 99) dan di tempat lain, pengarang telah membayangkan Herodias sebagai berkhidmat kepada "tuhan-tuhan palsu yang berbohong" (m.s. 267). Walau bagaimanapun sebutan ini tidak terjumpa di dalam Al-Kitab mahupun Al-Quran. Apa yang menarik ialah ungkapan itu bulat-bulat dari karya Dante! Kebanyakan cerita neraka di dalam Injil Barnabas (m.s. 76-77) adalah kenangan kepada yang terdapat di dalam karya Inferno Dante.
Begitu juga sebutan "raging hunger" (rabbiosa fame) adalah bayangan kepada kanto pertama di dalam karya Inferno Dante. Kedua-duanya menceritakan mengenai "bulatan-bulatan neraka" dan pengarang Injil Barnabas juga membuat Hazrat Isa berkata kepada Petrus:
"Tahulah engkau bahawa neraka itu satu, tetapi adanya tujuh bulatan satu di bawah yang satu lagi. Jadi, sepertimana ada tujuh jenis dosa, kerana Iblis telah menjadikannya tujuh pintu neraka: begitu juga ada tujuh jenis hukuman di dalamnya" (Injil Barnabas m.s.171)
Inilah sebutan bulat-bulat yang terdapat di dalam kanto-kanto kelima dan keenam karya Dante. Kami boleh menyebutkan banyak contoh lagi tetapi oleh kerana batasan ruangan kami hanya rela memberi bukti-bukti lain yang menunjukkan penulisan Injil Barnabas semasa Zaman Pertengahan. Satu ungkapan yang penting mesti diperkatakan, kerana dalam kes ini Injil Barnabas bersetuju dengan Dante tetapi berlawanan dengan ajaran Al-Quran. Kita baca di dalam Al-Quran bahawa terdapat tujuh langit:
Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Surah 2:29
Sebaliknya kita baca di dalam Injil Barnabas bahawa terdapat sembilan langit dan Firdaus itu seperti Empyrean yang diceritakan Dante adalah di langit ke-sepuluh di atas sembilan langit-langit itu. Pengarang Injil Barnabas membuat Hazrat Isa berkata:
Firdaus itu hebatnya, tiada yang dapat mengukurnya. Sesungguhnya aku memberitahu kamu bahawa langit itu sembilan kesemuanya Aku berkata kepadamu bahawa Firdaus itu lebih hebat daripada gabungan bumi dan semua langit sama sekali. (Injil Barnabas m.s. 203)
Nyatalah pengarang Injil Barnabas mengetahui tentang hasil kerja Dante dan tidak teragak-agak memetik darinya. Sememangnya bukti ini menunjukkan kitab ini ditulis ratusan tahun selepas zaman Hazrat Isa dan Muhammad. Sesungguhnya Injil Barnabas ialah satu kepalsuan yang tidak bernilai dan harus ditolak oleh semua kaum Muslim yang percaya di dalam hati mereka bahawa kepalsuan itu tidak harus dicampuraduk dengan kebenaran.
c) Suasana Zaman Pertengahan Injil Barnabas
Pengarang Injil Barnabas menuntut dia berada di sisi Hazrat Isa pada keseluruhan pelayanannya, dan oleh itu pengarang telah menziarahi tanah Palestin semasa Hazrat Isa berada bersama Bani Israil selama tiga tahun. Oleh itu, kita patut memperhatikan keadaan Palestin pada zaman Hazrat Isa di dalam Injil Barnabas sepertimana yang kita dapat lihat di dalam keempat-empat buah kitab Injil Kristian yang tulen. Tetapi kami bertemu dengan keadaan yang membelotkan suasana Zaman Pertengahan Eropah Barat di dalam Injil Barnabas:
"Lihatlah betapa indahnya dunia dalam musim panas, apabila semua benda berbuah. Petani, mabuk dengan keriangan kerana tibanya musim menuai, memenuhi lembah dan gunung dengan nyanyiannya, kerana dia amat menyukai kerjanya" (Injil Barnabas m.s. 217)
Ini adalah deskripsi negara Sepanyol atau Itali pada musim panas tetapi pasti bukan Palestin di mana hujan turun pada musim sejuk dan padangnya kering pada musim panas. Bagaimanapun, bercucuk tanam di Palestin adalah sentiasa susah dan memerlukan usaha yang keras dan kebanyakan kawasan luar bandarnya kosong dan tidak berumput. Kami hairan, tanah ini pada musim panasnya boleh dijadikan sebagai contoh suasana Firdaus yang menyenangkan. Memang Hazrat Isa telah dikatakan sebagai memberi percakapan itu kepada pengikut-pengikutnya di kawasan gurun yang terletak di seberang Yordan (Injil Barnabas m.s. 211), tempat di mana tidak ada kesan padang rumput yang menghijau seperti yang telah didakwa.
Sekali lagi kita baca di Injil Barnabas bahawa Martha, kakaknya Maryam dan abangnya Lazarus adalah tuan punya dua buah bandar iaitu Magdala dan Betani. Kepunyaan begini hanya dijumpai pada sistem feudal Eropah Zaman Pertengahan dan bukan pada zaman Hazrat Isa.
Kesilapan-kesilapan anachronisme begini membantahi keaslian Injil Barnabas. Memang tepat jika disangkakan bahawa ianya dikarang oleh seorang Muslim pada Zaman Pertengahan, yang telah terbantut dan gagal dalam usahanya membuktikan kerosakan Injil asli di dalam Al-Kitab, lalu dia menulis injil yang palsu dan menyatakannya sebagai injil benar! Satu contoh lagi yang memperlihatkan persekitaran Zaman Pertengahan kitab ini ialah rujukan kepada tong-tong arak (m.s. 196), kerana arak disimpan di dalam beg kulit pada zaman Hazrat Isa dan tong kayu digunakan pada Zaman Pertengahan.
Oleh itu, walaupun pengarang Injil Barnabas menunjukkan di dalam kitabnya bahawa dia berpengetahuan jitu mengenai struktur sosial Zaman Pertengahan, pada masa yang sama dia juga membongkar kejahilannya mengenai tanah Palestin yang sepatutnya dijelajahnya selama tiga tahun sebagai pengikut Hazrat Isa! Dia menulis:
"Selepas tiba di kota Nazaret, kelasi-kelasi menyebar ke seluruh kota itu semua yang dilakukan Hazrat Isa ." (Injil Barnabas m.s. 23)
Nazaret dikatakan sebagai kota pelabuhan di persisiran tasik Galilea. Selepas ini kita membaca bahawa Hazrat Isa "naik ke Kapernaum" (m.s.23) dari Nazaret, seolah-olah Kapernaum terletak di tepi bukit yang berhampiran lautan Galilea. Fakta pengarang salah kerana Kapernaum adalah kota di persisiran pantai dan Nazaret terletak di atas bukit (sehinggalah ke hari ini), bukan sebaliknya. Bukti ini juga menunjukkan bahawa pengarang Injil Barnabas tinggal di Eropah semasa Zaman Pertengahan dan bukan Palestin semasa zaman Hazrat Isa.
3. Bukti-bukti lain yang menentang ketulenannya.
Pertama sekali, kitab ini selalu membuat Hazrat Isa menafikan dialah Al-Masih, sebaliknya mengatakan bahawa Muhammad yang menjadi Al-Masih. Tema ini berkekalan dan berulang dalam Injil Barnabas. Dua petikan menunjukkan bahawa bukan saja Hazrat Isa menafikan dirinya sebagai Al-Masih, tetapi berkhutbah bahawa Muhammad itulah Al-Masih:
"Hazrat Isa mengaku dan berkata benar: Saya bukan Al-Masih saya sememangnya telah dihantar kepada rumah Israil sebagai nabi penyelamat; tetapi setelah saya akan datangnya Al-Masih" (Injil Barnabas m.s. 54, 104)
Petikan-petikan lain di dalam Injil Barnabas mengandungi penafian-penafian yang seumpama. Amat nyata bahawa salah satu tujuan utama kitab ini adalah untuk menetapkan Muhammad sebagai Al-Masih dan menundukkan Hazrat Isa kepadanya dari segi kuasa dan kemuliaan. Akan tetapi pengarang kitab ini sudah keterlaluan dalam semangatnya untuk perjuangan Islam. Al-Quran kerap dengan jelas menyatakan bahawa Hazrat Isa adalah Al-Masih dan mengesahkan ajaran sebenar Hazrat Isa mengenai dirinya sebagai Al-Masih (Yohanes 4:26, Matius 16:20). Satu petikan dari Al-Quran adalah memadai untuk membuktikan ini:
ketika Malaikat berkata: "Hai Maryam, sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kalimat daripada-Nya, namanya Al Masih 'Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan, (Surah 3:45)
Adalah jelas Injil Barnabas sebagai "Injil Islam" yang ideal, memperkenalkan kehidupan Hazrat Isa seperti yang dicatat dalam Al-Quran dan bukan seperti Tuhan Isa Kristus dalam Injil orang Kristian. Tetapi oleh kerana Injil Barnabas kerap bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Kitab dalam hal Al-Masih Isa, kitab ini harus ditolak sebagai satu kebenaran oleh kedua-dua orang Muslim dan Kristian. Kerana Injil Barnabas adalah palsu, maka tiada tempat untuk usaha menemukannya dengan Al-Quran atau Al-Kitab.
Kedua, orang Rom telah dikatakan sebagai menghasut orang Yahudi mengenai sifat sebenar Isa sehingga mencapai tahap di mana "seluruh Yudea telah bersenjata" (m.s. 115), sedia berjuang untuk atau bertentangan kepada kepercayaan-kepercayaan yang disebar di kalangan mereka mengenai Isa. Akibatnya, enam ratus ribu orang dikatakan telah berkumpul untuk berperang - dua ratus ribu orang untuk setiap kepercayaan iaitu kepercayaan bahawa dia Allah, kepercayaan dia itu Anak Allah, dan kepercayaan dia cuma seorang rasul; semuanya bersiap sedia untuk perjuangan tiga hala di mana setiap pihak berperang dengan dua pihak yang lain pada masa yang sama!
Kisah ini mendedahkan kedongengan dan kekhayalan dalam kenyataan-kenyataannya yang berlebih-lebih mengenai bilangan tentera yang berkumpul untuk berperang. (Si pengarang kerap membesar-besarkan fakta-fakta dan angka-angka di dalam kitabnya dalam usahanya mencipta kesan yang menakjubkan ke atas pembaca-pembacanya). Di manakah orang Yahudi dapat mencari enam ratus ribu pedang dengan begitu tiba-tiba? Ini memandangkan pada ketika itu orang Rom bukan sahaja telah menindas malah telah menghalang pembikinan senjata-senjata perang oleh negara ini! Daripada berperang sesama sendiri, lebih baik angkatan yang besar ini menghalau orang Rom dari tanah Palestin dengan begitu mudah sekali. Ini adalah kerana bilangan tentera Rom di seluruh dunia ketika itu hanya separuh daripada angkatan ini. Hanya satu garisen yang menguasai Yudea dan sejarah sekular tidak tahu mengenai persediaan yang besar untuk satu perlawanan tiga hala yang melibatkan begitu ramai orangnya.
Tambahan pula, Injil Barnabas juga mencadangkan bahawa Pilatus, Herodias dan Kayafas telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang perbalahan yang besar itu. Kami mendapati ini sukar dipercayai. Jika benar orang Yahudi berjumlah enam ratus ribu orang, Pilatus sudah tentu gembira melihat mereka membunuh satu sama sendiri dalam perlawanan tiga hala!
Injil Barnabas juga jelas bercanggah dengan Al-Quran mengenai kelahiran Hazrat Isa:
Anak dara dikepung oleh terang yang kuat dan melahirkan anaknya tanpa kesakitan (Injil Barnabas m.s. 5)
Ini adalah perulangan kepercayaan Roma Katolik pada Zaman Pertengahan. Terang yang kuat dan kelahiran tanpa kesakitan adalah kepercayaan gereja-gereja Eropah pada Zaman Pertengahan. Tiada butir-butir sebegini di dalam Al-Kitab , tetapi Al-Quran bercanggah dengan Injil Barnabas:
Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, dia berkata: "Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak berarti, lagi dilupakan". (Surah 19:23)
Oleh kerana Injil Barnabas mendakwa sebagai kisah kehidupan Hazrat Isa yang ditulis oleh seorang pengikutnya, dan kerana ia telah dikarang untuk bersinkroni dengan Al-Quran dalam konsepnya bahawa Hazrat Isa adalah seorang nabi Islam, dunia Muslim tidak ragu-ragu mengatakan kitab ini sebagai "Injil benar". Tetapi kami terpaksa bertanya bagaimanakah kitab ini boleh benar di dalam pandangan orang Islam jika ia bercanggah dengan Al-Quran yang dipercayai orang Islam sebagai kalimat Allah?
Di dalam Injil Barnabas, kami membaca bahawa Pilatus adalah gabenor Yudea ketika kelahiran Isa (m.s. 4) dan juga ketika pelayannya tiga puluh tahun kemudian. Palestin adalah satu-satunya kawasan yang bermasalah kepada orang Rom dan tidak ada seorang gabenor yang dihantar ke sana untuk masa yang lama - lebih-lebih lagi untuk tiga puluh tahun. Kami tahu dari sejarah bahawa dalam apa-apa keadaan pun Pilatus hanya dilantik sebagai Gabenor pada tahun 27 selepas Masihi - lebih daripada satu generasi selepas kelahiran Isa. Ini adalah satu lagi faux pas - satu antara banyak yang terkandung di dalam lembaran-lembaran Injil palsu ini.
Satu percanggahan lagi di antara Injil Barnabas dengan Al-Quran ialah mengenai akhirat. Menurut Injil Barnabas, pada hari ketiga belas dari satu kemuncak lima belas hari yang akan menuju kepada kiamat, "langit akan digulungkan seperti sebuah kitab, dan hujan api akan turun, supaya semua benda hidup akan mati" (m.s.70). Tetapi Al-Quran berkata:
Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua) pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya. ...(Surah 80:33-37)
Ini satu perselisihan yang nyata. Injil Barnabas menyatakan semua akan mati dua hari sebelum hari kiamat tetapi Quran berkata ada yang masih hidup apabila trompet dibunyikan dari langit. Kaum Muslim mesti memilih di antara Quran dan Injil Barnabas tiada siapa dapat percaya bahawa Injil Barnabas adalah akuan tepat mengenai hidup Hazrat Isa jika dia percaya Al-Quran itu kalimat Allah.
Lebih-lebih lagi, menurut Injil Barnabas semua malaikat akan mati pada hari kiamat (m.s.70) tetapi Al-Quran tidak berkata begitu malah menunjukkan bahawa lapan malaikat akan memikul takhta Tuhan pada hari kiamat (Surah 69:17) Kaum Muslim dan Kristian yang percaya terhadap kitab masing-masing mesti menolak Injil Barnabas kerana ianya penulisan kacukan yang tiada nilai agama mahupun sastera.
Kami boleh berterusan dengan bukti-bukti lain mengenai kepalsuan kitab ini, tetapi bukti-bukti yang telah didepankan adalah cukup untuk membuka mata kaum Muslim bahawa Injil Barnabas sememangnya tidak menampilkan bukti-bukti yang kukuh kepada mereka mengenai kehidupan Hazrat Isa. Minat kaum Muslim terhadap kitab ini boleh difahami tetapi demi kebenaran, kaum Muslim patut mengakui bahawa kitab ini bukan kontemporari dengan kehidupan Hazrat Isa di dalam Al-Quran, tetapi adalah satu kepalsuan semata-mata yang nyata. Kitab ini akan memburukkan nama agama Islam sekiranya orang yang degil dan bodoh terus menyebarkannya sebagai kisah benar kehidupan dan ajaran Hazrat Isa.
4. Siapakah penulis sebenar kitab yang palsu ini?
Hanya terdapat dua naskhah (manuskrip) Injil Barnabas yang diketahui wujud sebelum sebarang penyalinan dibuat daripada teks-teks yang sedia ada kepada kita. Edisi Itali terletak di dalam sebuah perpustakaan Vienna manakala serpihan-serpihan edisi Sepanyol sahaja yang masih tinggal dewasa ini. George Sale dalam ulasannya mengenai Injil Barnabas di dalam "Preliminary Discourse to the Koran" dan juga di dalam satu mukadimah ringkas di dalam bukunya, menulis mengenai satu edisi sepanyol yang lengkap yang dilihat dengan matanya sendiri. Rupa-rupanya, edisi Sepanyol itulah yang mungkin asli. Di dalam pendahuluan kepada edisi yang kita gunakan ini, dakwaan telah dibuat bahawa ianya terjemahan edisi Itali tetapi kesalahan ejaan yang banyak di dalam edisi Itali - satu perkara biasa untuk penulis yang menggunakan bahasa Itali sebagai bahasa kedua - jelas menunjukkan bahawa pengarangnya lebih senang di Sepanyol berbanding dengan di Itali. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang kemungkinan adanya seorang dari Sepanyol yang telah cuba mengarang satu kitab asli dalam bahasa Itali. Kemungkinan ini dijadikan lebih realistik berdasarkan dua pertimbangan.
Pertama sekali, oleh kerana pengarangnya kerap menggunakan petikan-petikan daripada Vulgate (terjemahan Al-Kitab dalam bahasa Latin) dan meminjam kebanyakan kisah-kisahnya daripada Al-Kitab, dia mungkin telah mendapati adalah lebih senang menggunakan bahasa Itali sebagai bahasa perantaraan untuk karangannya yang jahat.
Kedua, dia mungkin berpendapat bahawa kitabnya itu akan kelihatan lebih asli sekiranya ia dikarang dalam bahasa Itali. Perbuatan ini mungkin akan menyokong pengenalan edisi Sepanyol kerana telah didakwa bahawa pada asalnya Injil Barnabas disembunyi di dalam perpustakaan Paus sebelum ia ditemui di dalam keadaan yang boleh dipersoalkan. Ia dikatakan telah ditemui seorang yang bernama Fra Marine yang setelah dibacanya kitab ini menganut pula agama Islam. Teks Itali mungkin telah ditulis untuk meningkatkan kredibiliti cerita ini - Pertama sekali, jika Injil ini telah muncul di Sepanyol, adalah jauh lebih sesuai jika ia ditulis dalam bahasa asing di dalam negara yang dikatakan sebagai tempat asal-usulnya, berbanding dengan di dalam loghat tempatan. Alternatif bahawa ia ditulis dalam loghat tempatan mungkin akan menimbulkan keraguan terhadap asal sebenarnya - terutamanya jika edisi Itali tidak dapat dilihat lagi untuk menyokong tuntutan bahawa kitab yang asal datang dari Itali.
Walau bagaimanapun ada beberapa sifat yang mengukuhkan dakwaan bahawa kitab ini dikarang oleh orang Sepanyol di negara Sepanyol, tidak kira bahasa apa yang digunakannya. Dalam Injil Barnabas Hazrat Isa dijadikan sebagai berkata:
Edisi Itali membahagikan satu denarius emas kepada 60 minuti. Kepingan syiling ini sebenarnya mempunyai bau berasal dari Sepanyol dan adalah dari tempoh sebelum zaman Islam-Visogothic. Oleh itu terbongkarlah latar belakang Sepanyol di dalam Injil Barnabas.
Tiada siapa mengetahui penulis sebenarnya tetapi kita tahu dengan pasti bahawa dia memang bukan rasul Barnabas. Barangkali, penulis itu orang Muslim yang tinggal di Sepanyol dan setelah menyaksikan penjajahan semula negaranya oleh kuasa Kristian, memutuskan untuk membalas dendam dengan mengarang kitab ini di bawah nama Barnabas. Dia mungkin telah mengarang kitabnya di dalam skrip Itali untuk mengekalkan rupa yang seolah-olah tulen tetapi pada masa yang sama, mengarang (atau mengatur untuk penterjemahannya ke) dalam bahasa Sepanyol untuk diedarkan di dalam negaranya. Dia mungkin Fra Marine jahat yang terkenal atau Mustafa de Aranda seorang penterjemah; atau mungkin kedua-duanya sekali- menggunakan dua nama untuk tujuan sama yang diharapkannya melalui nama Barnabas sebagai pengarang kitabnya.
Walau apapun dakwaan Injil Barnabas mengenai dirinya sendiri, mahupun dari aspek rupanya atau dari kehendak harapan dunia Islam mengenainya, penyelidikan umum mengenai kitab ini akan mendedahkannya sebagai satu percubaan lemah untuk menyelaraskan karangannya mengenai kisah kehidupan Hazrat Isa dengan profil Hazrat Isa dalam Al-Quran dan tradisi Islam. Adalah lebih baik jika dunia Islam menolak kitab ini kerana sudah jelas ianya satu kepalsuan.
BIBLIOGRAFI - BUKU-BUKU DAN ARTIKEL-ARTIKEL
Begum Aisha Bawany Wakf - The Gospel of Barnabas. (3rd Edition, with introduction). (Begum Aisha Bawany Wakf, Karachi, Pakistan, 1974).
Begum Aisha Bawany Wakf - The Gospel of Barnabas. (6th Edition, with appendix). (Bawany Islamic Literature Trust Ltd., Karachi, Pakistan, 1977).
Durrani, M H - Forgotten Gospel of St Barnabas. (International Islamic Publishers, Karachi, Pakistan. 1982).
Durrani, M H - In Defence of Gospel of St Barnabas. (Muslim Digest, April 1975, Durban, South Africa).
Gairdner, W H T and Abdul-Ahad, S - The Gospel of Barnabas - An Essay and Enquiry. (Henry Martyn Institute of Islamic Studies, Hyderabad, India, 1975).
Gilchrist, J D - The Gospel of Barnabas - Is this "The Amazing Truth''? Or is it a "Bare-faced Forgery"? (Jesus to the Muslims, Benoni, South Africa, 1976).
Jadeed, I - The Gospel of Barnabas: A False Testimony. (The Good Way,Rikon, Switzerland. 1980).
Kritzinger, J N J - A Critical Study of the Gospel of Barnabas. (Benoni, South Africa, 1979).
Kritzinger, J N J - The Gospel of Barnabas Carefully Examined. (Pretoria,South Africa, 1975).
Peerbhai, A - Missing Documents from Gospel of Barnabas. (IslamicInstitute, Durban, South Africa, 1967).
Peerbhai, A - World Seminar on the Gospel of Barnabas. (Al-Jihaad International Islamic Movement. Cape Town, South Africa, 1975).
Ragg, L and L - The Gospel of Barnabas. (Clarendon Press, Oxford, England,1907).
Rahim, M A - The Gospel of Barnabas. (Qur'an Council of Pakistan, Karachi, Pakistan, 1973).
Slomp, J - Pseudo-Barnabas in the Context of Muslim-Christian Apologetics. (Christian Study Centre, Rawalpindi, Pakistan, 1974).
(Terjemahan karya John Gilchrist yang bertajuk "Origins and Sources of the Gospel of Barnabas")
Homepej-homepej Bahasa Melayu dan Indonesia
Answering Islam Main Site (English)