INJIL YAHYA

 

Firman & Kalimat Allah telah Nuzul (Turun) ke dunia dan menjadi insan

1 1Pada permulaan sudah wujud Firman (Logos), dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu adalah Allah. 2Dia bersama dengan Allah pada permulaan.

3Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Dari segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya. 4Hidup ada di dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. 5Dan Cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.

6Allah mengutus seorang bernama Yahya. 7Dia datang untuk memberi kesaksian tentang Cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia. 8Dia sendiri bukanlah Cahaya itu, dia datang untuk memberi kesaksian tentang-Nya. 9Itulah Cahaya yang benar, Cahaya yang menerangi setiap manusia di dunia.

10Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya. 11Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya. 12Namun demikian, Dia memberi hak menjadi anak anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya. 13Mereka menjadi anak Allah bukan melalui darah keturunan, atau kehendak tabii manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah.

14Firman itu menjadi manusia dan hidup di kalangan kita. Kita melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera tunggal yang datang daripada Allah Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.

15Yahya memberi kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, ‘Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.’ 16Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia dan berkat. 17Ini kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Isa al-Masih. 18Tiada siapa pernah melihat Allah; Putera satu-satunya daripada Allah yang ada di pangkuan Bapa, telah menunjukkan-Nya. 


Kesaksian Yahya

19Inilah kesaksian Yahya, apabila orang Yahudi di Baitulmaqdis mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, ‘Siapakah kamu?’ 20Yahya mengaku, ‘Aku bukanlah al-Masih’.

21Mereka bertanya, ‘Jadi, kamu ini siapa? Ilyas?’

‘Bukan,’ jawabnya.

‘Adakah kamu nabi?’

Dia menjawab, ‘Bukan.’

22Kemudian mereka berkata, ‘Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?’

23Yahya menjawab, ‘Aku ini satu suara yang berseru di gurun, “Luruskanlah jalan untuk Tuhan,” sebagaimana kata Nabi Yasyaya.’

24Di antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi. 25Mereka terus menyoal, ‘Mengapakah kamu mengimadkan orang, kiranya kamu bukan al-Masih, bukan Ilyas dan bukan pula nabi?’

26Yahya menjawab, ‘Aku mengimadkan dengan air, tetapi di kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali, 27iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.’

28Semua ini terjadi di Baitani, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yahya mengimadkan orang. 


Isa al-Masih,
Sebagai 'Anak Domba' Allah

29Pada keesokan harinya, Nabi Yahya bin Zakaria telah melihat Isa berjalan ke arahnya lalu berseru, ‘Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! 30Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. 31Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan mengimadkan orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.’

32Yahya memberi kesaksian: ‘Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. 33Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk mengimadkan orang dengan air telah berfirman kepadaku, “Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan mengimadkan orang dengan Roh Suci.” 34Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Putera Allah.’ 


Pengikut-pengikut
Sayidina Rabbani Isa yang pertama

35Pada hari yang berikut, Yahya berada di situ lagi bersama dua orang pengikutnya. 36Dia melihat lagi Isa lalu di tempat itu dan dia berseru, ‘Lihatlah Anak Domba Allah!’

37Apabila dua orang pengikut Yahya itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Isa. 38Isa menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, ‘Apa hajatmu?’

Mereka menjawab, ‘Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?’

39‘Marilah lihat,’ kata Isa.

Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira pukul empat. Mereka pun tinggal bersama Isa pada hari itu.

40Seorang daripada mereka ialah Andreas, saudara Simon Petrus. 41Andreas segera mencari Simon dan berkata, ‘Kami telah bertemu dengan al-Masih!’ 42Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Isa.

Isa memandang Simon lalu berkata, ‘Kamu Simon anak Yahya, tetapi kamu akan digelar Kefas.’ (Kefas sama ertinya dengan Petrus, yakni batu pejal.)

43Pada keesokan harinya, Isa membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, ‘Ikutlah Aku.’

44Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Baitsaida. 45Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, ‘Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Isa anak Yusuf dari Nasaret.’

46Tetapi Natanael berkata, ‘Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?’

‘Marilah lihat,’ balas Filipus.

47Ketika Isa melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, ‘Inilah seorang Israel sejati, tiada yang palsu pada dirinya.’

48Natanael bertanya, ‘Bagaimana Engkau mengenal aku?’

Isa menjawab, ‘Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.’

49Natanael berseru, ‘Tuan Guru, Engkau Putera Allah ! Engkau Raja bangsa Israel!’

50Isa berkata, ‘Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!’ 51Isa berkata kepada mereka semua, ‘Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Putera Insan.’ 


Perkahwinan di Kana

2  1Pada hari yang ketiga, suatu majlis perkahwinan diadakan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Isa turut hadir. 2Isa dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis itu. 3Apabila air anggur yang ada habis diminum, ibu Isa berkata kepada-Nya, ‘Mereka kehabisan air anggur.’

4Isa menjawab, ‘Puan, usahlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.’

5Namun, ibu Isa berkata kepada pelayan-pelayan di majlis itu, ‘Buatlah apa saja yang disuruh-Nya.’

6Di situ ada enam buah tempayan yang digunakan untuk istiadat penyucian orang Yahudi. Tiap-tiap tempayan dapat memuat kira-kira seratus liter air.

7Isa berkata kepada pelayan-pelayan, ‘Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.’ Mereka pun mengisi penuh keenam-enam tempayan itu.

8Setelah itu Isa berkata pula, ‘Sekarang ambillah sedikit air itu, bawakan kepada ketua majlis.’ Mereka pun menghidangkan air itu kepada ketua majlis.

9Setelah ketua majlis merasa air yang telah menjadi air anggur itu, dia pun memanggil pengantin lelaki. Dia tidak tahu dari mana datangnya air anggur itu, tetapi para pelayan yang mengambil dan membawa air itu mengetahuinya. 10Dia berkata kepada pengantin lelaki, ‘Selalunya orang menghidangkan air anggur yang terbaik di awal majlis. Setelah tetamu banyak minum, dihidangkan pula air anggur yang biasa saja. Tetapi kamu menyimpan dulu air anggur yang terbaik, sekarang baru dihidangkan!’

11Itulah mukjizat Isa yang pertama, dilakukan di Kana, Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya, maka para pengikut-Nya percaya kepada-Nya. 


Sayidina Rabbani
Isa menyucikan rumah ibadat

12Setelah itu Isa bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari.

13Ketika perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba, Isa pergi ke Baitulmaqdis. 14Di dalam rumah ibadat Dia mendapati orang berjual-beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ. 15Isa membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari rumah ibadat. Dia juga menghamburkan wang para pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka. 16Dia berkata kepada penjual burung merpati, ‘Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!’

17Para pengikut-Nya teringat bahawa telah tersurat: ‘Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!’’

18Orang Yahudi menyoal Isa, ‘Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?’

19Isa menjawab, ‘Robohkanlah rumah ibadat ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.’

20‘Pembinaannya mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?’ tanya mereka. 21Sebenarnya, rumah ibadat yang dimaksudkan oleh Isa itu ialah tubuh-Nya sendiri. 22Apabila Isa bangkit daripada kematian, para pengikut-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Isa.

23Sewaktu Isa di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska, ramai orang yang percaya kepada-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. 24Namun demikian, Isa tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia. 25Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang. 


Isa mengajar Nikodemus
, Guru Kitab Taurat

3  1Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi dari golongan Farisi bernama Nikodemus. 2Dia mengunjungi Isa pada suatu malam lalu berkata, ‘Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.’

3Isa menjawab, ‘Sesungguhnya-Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.’

4Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!’

5Isa menjawab, ‘Apa yang Kukatakan ini benar. Tidak mungkin seseorang masuk ke dalam kerajaan Allah kecuali dia dilahirkan daripada air dan Roh Suci. 6Yang dilahirkan manusia adalah manusia, dan yang dilahirkan Roh adalah roh. 7Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. 8Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Suci.’

9Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana hal itu boleh berlaku?’

10Isa menjawab, ‘Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini? 11Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. 12Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga? 13Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Putera Insan yang telah turun dari syurga. 14Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Putera Insan akan diangkat 15supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.

16 'Allah begitu mengasihi umat manusia sehingga menganugerahkan Putera-Nya yang tunggal supaya orang yang percaya kepada Putera itu tidak binasa tetapi mendapat hidup kekal. 17Allah mengutus Putera-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan. 18Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukum. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudahpun dijatuhi hukum, kerana dia tidak percaya kepada   yang tunggal. 19Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat. 20Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah. 21Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.’ 


Kesaksian
Nabi Yahya yang terakhir

22Selepas itu, Isa dan para pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Isa tinggal bersama mereka di sana dan mengimadkan orang. 23Yahya pula mengimadkan di Ainon, tidak berapa jauh dari Salim, kerana di situ ada banyak air. Orang datang kepadanya dan dia mengimadkan mereka. 24Pada masa itu, Yahya belum lagi dimasukkan ke dalam penjara. 

25Pada suatu hari tercetus pertengkaran antara sebilangan pengikut Yahya dan seorang Yahudi tentang istiadat penyucian. 26Mereka pergi kepada Yahya dan berkata, ‘Tuan Guru, seorang yang bersama Tuan Guru di seberang Sungai Yordan dulu, orang yang Tuan Guru tunjukkan kepada kami, Dia mengimadkan orang dan semua orang pergi kepada-Nya.’

27Yahya menjawab, ‘Seseorang tidak mungkin menerima sesuatu kecuali diberi kepadanya dari syurga. 28Kamu semua menjadi saksiku bahawa aku telah berkata, “Aku bukanlah al-Masih, tetapi aku diutus sebelum-Nya.” 29Yang mendapatkan pengantin perempuan adalah pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki yang cuma menanti dan mendengarkan ketibaan pengantin lelaki, berasa bahagia ketika mendengar suara pengantin lelaki. Demikian juga aku. Sekarang sempurnalah kebahagiaanku. 30Memang sewajarnya Dia semakin utama dan aku semakin kecil.

31‘Dia yang datang dari atas adalah di atas segala-galanya. Orang yang berasal dari dunia datang dari dunia dan bercakap tentang hal-hal dunia. Tetapi Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala-galanya, 32Dia menyampaikan apa yang dilihat dan didengar-Nya, tetapi tidak ada seorang pun yang menerima kesaksian-Nya. 33Namun begitu, mereka yang menerima kesaksian-Nya mengaku bahawa Allah itu benar. 34Dia yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniakan-Nya Roh Suci sepenuhnya. 35Bapa kasih akan Putera-Nya dan telah meletakkan segala-galanya di bawah kuasa Putera-Nya. 36Sesiapa yang percaya kepada Putera itu mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya tidak akan mendapat hidup yang kekal itu dan kemurkaan Allah kekal ke atasnya.’ 


Isa ber
bicara dengan seorang perempuan dari Samaria

4  1Ketika Isa mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan mengimadkan (membaptiskan) lebih ramai pengikut berbanding Yahya, 2(sebenarnya para pengikut Isa yang mengimadkan, bukan Isa), 3Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula.

4Dalam perjalanan-Nya itu, Isa semestinya melalui Samaria. 5Di Samaria, Isa sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. 6Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Isa duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam yang keenam.

7Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Berilah Aku minum.’ 8Pengikut-pengikut Isa telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.

9Perempuan Samaria itu menjawab, ‘Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?’ (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)

10Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, “Berilah Aku minum,” tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.

11Perempuan itu berkata, “Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? 12Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.’

13Isa berkata, ‘Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; 14tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air di dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.’

15Perempuan itu berkata, ‘Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.’

16Isa menjawab, ‘Pergilah dulu, bawa suamimu ke mari.’

17Perempuan itu berkata, ‘Aku tidak ada suami.’

Isa pun berkata, ‘Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. 18Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.’

19Perempuan itu berkata, ‘Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. 20Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Baitulmaqdis.’

21Isa berkata, ‘Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Baitulmaqdis. 22Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23Akan sampai saatnya, malah sudahpun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. 24Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.’

25Perempuan itu berkata, ‘Aku tahu Mesias yang disebut al-Masih akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.’

26Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.’

27Pada ketika itu para pengikut Isa pulang ke situ. Mereka hairan melihat Isa bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, ‘Apa hajatmu?’ atau kepada Isa, ‘Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?’

28Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. 29Perempuan itu berkata, ‘Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?’ 30Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.

31Sementara itu, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, silalah makan.’

32Isa menjawab, ‘Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.’

33Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?’

34Isa berkata, ‘Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. 35Bukankah kamu berkata, “Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?” Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. 36Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. 37Dalam hal ini benarlah pepatah, “Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.” 38Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.’

39Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Isa setelah mendengar perempuan itu berkata, ‘Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.’ 40Oleh yang demikian, ketika mereka datang menemui Isa, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Isa pun tinggal di situ selama dua hari. 41Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Isa kerana kata-kata-Nya.

42Mereka berkata kepada perempuan itu, ‘Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah al-Masih, Penyelamat umat manusia di dunia.’

43Selepas tinggal dua hari di Samaria, Isa ke Galilea pula, 44kerana Isa sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri. 45Setiba-Nya di Galilea, orang di situ menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.  


Isa menyembuhkan anak pegawai kerajaan

46Selepas itu Isa pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum. 47Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Isa ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa Isa. Dia meminta Isa ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut.

48Tetapi Isa berkata, ‘Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.’

49Pegawai itu merayu, ‘Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.’

50Isa pun berkata, ‘Pergilah, anakmu akan sembuh.

Pegawai itu percaya akan kata-kata Isa lalu pergi. 51Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh. 52Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, ‘Kelmarin, pada jam yang ketujuh, dia tidak demam lagi.’

53Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Isa telah berkata, ‘Anakmu akan sembuh.’ Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Isa.

54Itulah mukjizat Isa yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea. 


Penyembuhan di Baithasda

5  1Setelah itu Isa pergi ke Baitulmaqdis pada masa suatu perayaan Yahudi.

2Di sana, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. 3Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring – ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh – menunggu air kolam itu berkocak. 4Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. 5Di kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. 6Isa melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Isa bertanya kepadanya, ‘Inginkah kamu sembuh?’

7Orang sakit itu menjawab, ‘Tuan, tiada siapapun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dulu.’

8Isa berkata kepadanya, ‘Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.’ 9Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat.

10Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang itu, ‘Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.’

11Orang itu menjawab, ‘Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.’

12Mereka pun bertanya, ‘Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?’

13Akan tetapi orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan yang mana orangnya, kerana Isa telah menghilang di antara orang ramai di situ.

14Tidak lama selepas itu, Isa bertemu dengan orang itu di dalam rumah ibadat dan berkata kepadanya, ‘Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.’ 15Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Isalah yang telah menyembuhkannya.

16Dengan demikian, mereka mula memusuhi Isa kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat. 17Namun, Isa berkata kepada mereka, ‘Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.’ 18Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah. 


Kesaksian Isa tentang diri-Nya

19Isa menjawab kata-kata mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, Putera tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Putera, 20kerana Bapa kasih akan Putera dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Putera-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Putera, sehingga kamu semua menjadi hairan. 21Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Putera-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya. 22Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya. 23Dengan demikian, semua orang menghormati Putera sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Putera, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya.

24‘Sesungguhnya aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar. 


Dua jenis kebangkitan

25‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudahpun sampai, ketika orang mati mendengar suara Putera Allah , dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup. 26Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Putera-Nya juga sumber hidup. 27Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya, kerana Dia itu Putera Insan.

28‘Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang mati mendengar suara-Nya. 29Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum. 30Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.

31‘Jika Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, itu tidaklah wajar diterima sebagai bukti yang sah. 32Ada lain yang memberi kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian yang disampaikan-Nya tentang-Ku itu benar. 


Kesaksian Yahya

33‘Kamu telah mengutus orang untuk berjumpa dengan Yahya, dan dia telah memberikan kesaksian yang benar. 34Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian manusia. Aku menyebutnya supaya kamu percaya dan dapat diselamatkan. 35Yahya ibarat pelita yang menyala dan bercahaya. Bagi seketika lamanya, kamu memilih untuk menikmati cahayanya.

36‘Tetapi kesaksian-Ku lebih besar daripada kesaksian Yahya. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan hal ini membuktikan bahawa Bapa telah mengutus-Ku. 37Bapa yang mengutus-Ku dan memberikan kesakian tentang diri-Ku ini belum pernah kamu dengar suara-Nya atau lihat wajah-Nya. 38Firman Tuhan tidak menetap dalam dirimu kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus Bapa. 


Kesaksian Kitab
Suci

39‘Kamu mengkaji Kitab Suci dengan tekun kerana kamu percaya dalamnya kamu mendapat hidup kekal. Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku. 40Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal.

41‘Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. 42Aku mengenalmu. Aku tahu kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. 43Aku datang atas nama Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut-Ku. Namun, ketika orang lain datang atas namanya sendiri, kamu menyambutnya. 44Bagaimana kamu mungkin percaya kepada-Ku, sedangkan kamu mencari pujian sesama sendiri? Kamu tidak berusaha mendapatkan pujian daripada Allah Yang Esa.

45‘Jangan sangka Aku akan menuduhmu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itulah yang akan menuduhmu. 46Sekiranya benar kamu percaya kepada Musa, tentulah kamu percaya kepada-Ku, kerana Musa telah menulis tentang diri-Ku. 47Kamu tidak percaya akan apa yang ditulis oleh Musa, maka bagaimana kamu mungkin percaya akan apa yang Kukatakan?’ 


Isa memberi lima ribu orang makanan

6  1Setelah itu Isa pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Tiberias. 2Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit. 3Isa mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama para pengikut-Nya. 4Pada masa itu perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba.

5Apabila Isa memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, ‘Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?’ 6(Sebenarnya Isa bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)

7Filipus menjawab, ‘Roti yang berharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.’

8Seorang lagi pengikut Isa bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, 9‘Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!’

10Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Ajaklah mereka duduk.’ (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. 11Isa mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu Dia memecah-mecahkan roti itu antara orang ramai itu. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula. Semuanya makan sepuas-puasnya.

12Setelah kenyang semuanya, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.’ 13Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.

14Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa itu, mereka pun berkata, ‘Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!’ 15Isa tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri. 

|
Sayidina
Isa al-Masih berjalan di atas air

16Setelah senja hari, para pengikut Isa turun ke tasik. 17Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Isa belum pulang mendapatkan mereka. 18Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang. 19Setelah para pengikut Isa berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan. 20Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut, Akulah Isa!’ 21Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.

22Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik sedar bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Isa tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para pengikut Isa telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya. 23Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Junjungan mengucap syukur. 24Apabila mereka tidak melihat Isa atau para pengikut-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Isa. 


Roti
yang Hidup

25Ketika mereka bertemu dengan Isa di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tuan Guru, bilakah Engkau sampai ke mari?’

26Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. 27Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepada-Mu oleh Putera Insan, kerana Allah Bapa telah melantik-Nya.’

28Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?’

29Isa berkata, ‘Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.’

30Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? 31Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: “Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.” ’

32Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. 33Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.

34Kemudian mereka berkata, ‘Junjungan, berilah kami roti itu selalu.’

35Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Roti Hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. 36Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. 37Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. 38Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. 39Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberi kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. 40Demikianlah kehendak Bapa-Ku iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.’

41Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-katanya, ‘Akulah roti yang turun dari syurga.’ 42Mereka berkata, ‘Bukankah Dia Isa, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, “Aku turun dari syurga”?’

43Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Janganlah merungut sesama sendiri. 44Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. 45Ada tersurat di dalam tulisan para nabi: “Semua manusia akan diajar oleh Allah.” Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.’ 46Tidak seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa. 47Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal. 48Akulah roti hidup. 49Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga. 50Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati. 51Akulah Roti Hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini adalah tubuh-Ku.’

52Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri

‘Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?’

53Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu. 54Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir. 55Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar. 56Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya. 57Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup. 58Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.’ 59Demikianlah kata-kata Isa ketika mengajar di saumaah di Kapernaum. 


Kata-kata untuk pengikut Isa

60Antara para pengikut yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, ‘Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?’

61Isa tahu tanpa diberitahu akan rungutan para pengikut-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?’ 62Bagaimana nanti kalau kamu melihat Putera Insan naik semula ke tempat asal-Nya? 63Hanya Roh Suci memberi hidup. Jasad semata-mata tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Suci dan memberi hidup. 64Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.’ (Isa mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.) 65Isa berkata lagi, ‘Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.’ 


Pengakuan Petrus

66Selepas itu, ramai pengikut Isa menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.

67Oleh yang demikian, Isa bertanya kepada pengikut-Nya yang dua belas itu, ‘Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?’

68Simon Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Kata-kata Tuhan memberi hidup yang kekal. 69Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’

70Isa berkata, ‘Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu adalah iblis?’ 71Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Yudas anak Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang pengikut Isa yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya. 


Isa mengajar di Perayaan
Pondok Daun (Tabernakel)

7  1Selepas itu, Isa pergi berjalan di Galilea. Dia tidak pergi ke daerah Yudea kerana orang Yahudi di situ berniat hendak membunuh-Nya. 2Ketika itu Perayaan Tabernakel orang Yahudi hampir tiba. 3Oleh itu, saudara-saudara Isa berkata kepada-Nya, ‘Beredarlah dari sini ke Yudea, supaya pengikut-pengikut-Mu dapat melihat perbuatan-Mu. 4Orang tidak menyembunyikan perbuatannya kalau ingin menjadi ternama. Kerana Kamu sudah melakukan perkara-perkara ini, biarlah diri-Mu dikenal orang di dunia.’ 5(Saudara-saudara Isa sendiri tidak percaya kepada-Nya.)

6Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Saat-Ku belum sampai lagi. Saatmu bila-bila sahaja. 7Dunia ini tiada sebab untuk membencimu. Tetapi dunia membenci-Ku, kerana Aku memberikan kesaksian tentangnya bahawa kerjanya durjana. 8Pergilah menyambut perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum sampai sepenuhnya.’ 9Setelah berkata demikian, Isa tetap tinggal di Galilea.

10Apabila saudara-saudara-Nya telah bertolak untuk menghadiri perayaan itu, Isa pun pergi juga secara diam-diam. 11Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Isa. Mereka bertanya, ‘Di manakah Dia?’

12Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, ‘Dia seorang yang baik.’

Ada pula yang berkata, ‘Tidak! Dia membawa ajaran sesat!’ 13Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Isa, kerana takut akan orang Yahudi.


Kesaksian Isa tentang diri-Nya

14Pada pertengahan masa perayaan itu, Isa masuk ke rumah ibadat lalu mengajar. 15Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, ‘Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?’

16Lalu Isa menjawab, ‘Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku. 17Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah. 18Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan. 19Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tidak seorang pun di antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?’

20Orang ramai menjawab, ‘Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?’

21Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub. 22Musa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat (Sabtu) pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.) 23Kiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat? 24Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil.’

25Sebilangan penduduk Baitulmaqdis berkata, ‘Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?’ 26Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia al-Masih? 27Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya.’ Tetapi, apabila al-Masih datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.’

 28Ketika Isa mengajar di rumah ibadat, Dia berseru dengan suara lantang, ‘Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya. 29Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.’

30Selepas itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai. 31Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Isa. Mereka berkata, ‘Apabila al-Masih datang, adakah dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?’

32Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal rumah ibadat menangkap Isa.

33Namun, Isa berkata, ‘Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku. 34Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku, kerana kamu tidak boleh datang ke tempat Aku berada.’

35Orang Yahudi berkata sesama sendiri, ‘Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan di kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani?’ 36Apakah maksud kata-kata-Nya, “Kita akan mencari-Nya tetapi tidak dapat menemui-Nya kerana kita tidak boleh pergi ke tempat Dia berada”?’

37Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Isa berdiri lalu berkata dengan suara lantang, ‘Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum.’ 38Sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.” ’ 39(Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Roh Suci yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Suci belum dikurniakan, kerana Isa belum dimuliakan.)


Perbalahan tentang siapa
Sayidina Isa al-Masih

40Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Isa berkata, ‘Sudah tentu orang inilah Nabi itu!’

41Ada pula yang berkata, ‘Dialah al-Masih yang diutus oleh Allah.’

Sebaliknya, ada yang berkata, ‘Al-Masih yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea. 42Menurut Kitab Suci, al-Masih yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Baitlahim, tempat asal Raja Daud.’ 43Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Isa. 44Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapapun menyentuh-Nya.

45Kemudian para pengawal rumah ibadat datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal rumah ibadat itu, ‘Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?’

46Para pengawal itu menjawab, ‘Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!”

47Orang Farisi berkata, ‘Adakah kamu disesatkan juga? 48Adakah mana-mana pemerintah atau orang Farisi percaya kepada-Nya? 49Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat – terlaknatlah mereka ini!’

50Nikodemus, seorang Farisi yang pernah pergi menemui Isa, berkata, 51‘Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?’

52Mereka berkata, ‘Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea.’

53Selepas itu semua orang pulang ke rumah. 


Perempuan yang berzina

8  1Akan tetapi Isa pergi ke Bukit Zaitun. 2Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke rumah ibadat. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka. 3Guru Taurat dan orang Farisi membawa kepada Isa seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ. 4Mereka berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.’ 5Di dalam hukum Taurat, Musa memberi perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?’ 6Mereka bertanya demikian untuk menduga Isa supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya.

Tetapi Isa tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya. 7Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.’ 8Kemudian Isa tunduk menulis semula di tanah.

9Setelah mendengar kata-kata Isa, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Isa dan perempuan itu yang tinggal. 10Isa meluruskan badannya lalu berkata kepada perempuan itu, ‘Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?’

11Perempuan itu menjawab, ‘Tidak ada, Junjungan.’

Isa berkata, ‘Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.’


Isa
al-Masih adalah Cahaya seluruh dunia

12Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.’

13Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Isa, ‘Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.’

14Isa menjawab, ‘Walaupun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesakian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. 15Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapapun. 16Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama. 17Ada tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah. 18Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberi kesaksian tentang diri-Ku.’

19Oleh itu mereka bertanya, ‘Di manakah Bapa-Mu itu?’

Isa menjawab, ‘Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.’ 20Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di rumah ibadat. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.

21Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’

22Lalu orang Yahudi berkata, ‘Adakah Dia hendak membunuh diri?’ Kerana Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’

23Isa berkata, ‘Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. 24Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.’

25‘Siapa Kamu ini?’ tanya mereka.

Isa menjawab, ‘Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi. 26Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.’

27Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa. 28Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa. 29Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.’ 30Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.


Kebenaran yang membebaskanmu

31Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, ‘Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati. 32Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.’

33Mereka berkata, ‘Kami keturunan Ibrahim. Kami belum pernah diperhambakan. Apakah maksud kata-kata-Mu, “Kamu akan dibebaskan”?’

34Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa. 35Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu. 36Dengan demikian, jika Putera membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya. 37Aku tahu kamu keturunan Ibrahim, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu. 38Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.’

39Mereka menjawab, ‘Bapa kami Ibrahim.’

Tetapi Isa berkata, ‘Sekiranya kamu benar-benar anak Ibrahim, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim. 40Aku hanya memberitahumu apa yang difirmankan Allah kepada-Ku, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Ibrahim! 41Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.’

Mereka menjawab, ‘Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.’

42Isa berkata kepada mereka, ‘Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya. 43Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku. 44Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta. 45Sebaliknya aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku. 46‘Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku? 47Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.’

48Mereka berkata, ‘Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?’

49Isa menjawab, ‘Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku. 50Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dia akan menghakimi. 51Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’

52Mereka berkata kepada-Nya, ‘Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Ibrahim sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, “Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”

53Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Ibrahim yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?’

54Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku memuliakan diri-Ku, kemuliaan itu tidak bererti. Bapa-Ku yang memuliakan Aku. Kamu mengatakan Dia itu Tuhanmu. 55Namun, kamu tidak mengenal-Nya, tetapi Aku mengenal-Nya. Sekiranya Kukatakan Aku tidak mengenal-Nya, jadilah Aku pendusta sepertimu. Aku mengenal-Nya dan taat akan firman-Nya. 56Bapamu Ibrahim bersukacita melihat hari-Ku. Dia melihatnya dan bergembira.’

57Mereka berkata kepada-Nya, ‘Usia-Mu belum sampai lima puluh tahun. Bagaimana Kamu mungkin berjumpa dengan Ibrahim?’

58Isa berkata kepada mereka, ‘Apa yang Kukatakan ini benar, sebelum Ibrahim dilahirkan Aku sudah ada.’ 59Setelah itu semua orang Yahudi itu memungut batu untuk merejam Isa, tetapi Isa menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan rumah ibadat. 


Penyembuhan seorang lelaki yang buta sejak lahir

9  1Ketika Isa sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir. 2Para pengikut-Nya bertanya, ‘Tuan Guru, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?’

3Isa menjawab, ‘Bukan dia dan bukan juga ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya. 4Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang tidak dapat melakukan apa-apa lagi. 5Selama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia.’

6Selepas itu, Isa berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu. 7Isa berkata kepadanya, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam’ (Siloam bererti ‘diutus’ dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat.

8Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, ‘Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?’ 9Ada yang berkata, ‘Ya, dialah.’ Ada pula yang berkata, ‘Bukan, hanya serupa dengannya.’

Tetapi orang itu sendiri mengaku, ‘Akulah orang itu.’

10Mereka bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?’

11Dia menjawab, ‘Orang yang bernama Isa telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.’

12Mereka bertanya, ‘Di manakah orang itu?’

Dia menjawab, ‘Aku tidak tahu.’ 

Perselisihan pendapat tentang Isa

13Orang yang dahulunya buta itu dibawa mereka kepada orang Farisi. 14Isa telah membuat tanah liat dan menyembuhkan mata orang itu pada hari Sabat. 15Orang Farisi menanya orang itu bagaimana dia dapat melihat. Jawabnya, ‘Dia menyapukan tanah liat pada mataku, lalu aku membasuh muka, dan kemudian aku dapat melihat.’ 16Sebilangan orang Farisi itu berkata, ‘Dia bukan daripada Allah, kerana Dia melanggar peraturan hari Sabat.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Kalau Dia orang berdosa, bagaimana Dia dapat melakukan mukjizat begini?’ Dengan demikian timbullah perselisihan pendapat di kalangan mereka.

17Orang Farisi bertanya lagi kepada orang yang dahulunya buta itu, ‘Kamu berkata Dia menyembuhkan matamu. Bagaimana pendapatmu tentang Dia?’

Orang itu menjawab, ‘Dia seorang nabi.’

18Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya. 19Mereka bertanya, ‘Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?’

20Ibu bapa orang itu menjawab, ‘Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir. 21Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.’ 22Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Isa itu al-Masih akan disingkirkan dari saumaah. 23Maka itulah ibu bapanya berkata, ‘Dia sudah dewasa, tanyalah dia.’

24Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, ‘Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.’

25Dia menjawab, ‘Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.’

26Mereka bertanya lagi, ‘Apa yang dibuat-Nya kepadamu? Bagaimana Dia mencelikkan matamu?’

27Dia menjawab, ‘Aku telah pun memberitahumu, tetapi kamu tidak mendengar. Mengapakah kamu hendak mendengarnya lagi? Adakah kamu ingin menjadi pengikut-Nya juga?’

28Mereka mencacinya dan berkata, ‘Kamulah pengikut-Nya. Kami pengikut Musa. 29Kami tahu Allah berfirman kepada Musa. Orang itu, tiada siapa yang tahu dari mana Dia datang.’

30‘Hairan sekali,’ kata orang yang dahulunya buta itu. ‘Kamu tidak tahu dari mana Dia datang, tetapi Dia telah mencelikkan mataku! 31Kita tahu bahawa Allah tidak mendengar permintaan orang berdosa. Tetapi jika seseorang takut akan Allah dan melakukan kehendak-Nya, Allah akan mendengar permintaan-Nya. 32Sejak permulaan dunia, belum pernah kedengaran kisah orang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. 33Jika orang itu bukan daripada Allah, tidaklah dapat Dia melakukannya.’

34Mereka berkata kepadanya, ‘Kamu orang berdosa sejak lahir. Kamu hendak cuba mengajar kami?’ Mereka pun menghalaunya keluar.


Kebutaan rohani

35Isa mendengar bahawa mereka telah menghalaunya keluar, dan selepas menemuinya, Dia bertanya, ‘Adakah kamu percaya kepada Putera Insan?

36Orang itu menjawab, ‘Siapakah Dia, Junjungan? Katakanlah kepadaku, supaya aku dapat percaya kepada-Nya.’

37Isa berkata, ‘Kamu sudahpun melihat-Nya. Dialah yang sedang bercakap denganmu sekarang.’

38Orang itu berkata, ‘Junjungan, aku percaya.’ Dia pun sujud menyembah Isa.

39Isa berkata, ‘Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi manusia; supaya orang buta dapat melihat, manakala orang yang dapat melihat pula buta.’

40Ketika orang Farisi di situ mendengar kata-kata Isa, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kaumaksudkan kami juga buta?’

41Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu buta, tidaklah kamu berdosa. Tetapi kamu berkata kamu dapat melihat, maka kamu tetap berdosa.’


Ibarat tentang seorang gembala yang baik

10  1‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. 2Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba. 3Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar. 4Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya. 5Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.’ 6Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.

7Oleh yang demikian, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. 8Orang yang datang sebelumku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka. 9Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput. 10Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.

11‘Akulah gembala yang baik, yang mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya. 12Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran. 13Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.

14‘Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku, 15sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku. 16Ada domba-domba lain yang Kumiliki. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. 17Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti. 18Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah tugas yang Kuterima daripada Bapa-Ku.’

19Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi. 20Sebilangan besar berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar katanya?’

21Namun, ada yang berkata, ‘Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?’ 

Isa ditolak orang Israel

22Di Baitulmaqdis, Perayaan Pentahbisan sedang disambut. 23Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam rumah ibadat. 24Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?’

25Isa menjawab, ‘Aku sudahpun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberi kesaksian tentang diri-Ku. 26Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku. 27Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku. 28Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada-Ku. 29Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapapun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa. 30Bapa dan Aku satu.’

31Selepas itu orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Isa. 32Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku telah banyak melakukan perbuatan baik untukmu. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?’

33Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!’

34Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, “Kamu ilahi”? 35Jika Allah menyebut orang sebagai “ilahi” kerana firman Allah ditujukan kepada mereka, (apa yang tersurat di dalam kitab itu tidak dapat dibatalkan) 36bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, “Aku Putera Allah ”? 37Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku. 38Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.’ 39Mereka mencuba lagi menangkap Isa, tetapi Isa dapat melepaskan diri dari tangan mereka.

40Isa kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yahya mengimadkan orang dahulu. 41Ramai orang datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Yahya tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.’ 42Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Isa. 

Kematian dan kebangkitan Lazarus

11  1Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Baitani bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maryam dan Marta. 2Maryamlah perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Junjungan dan menyapunya dengan rambutnya. 3Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Isa, ‘Junjungan, dia yang Kaukasihi itu sakit.’

4Apabila menerima berita itu, Isa berkata, ‘Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Putera Allah  akan dimuliakan.’ 5Isa mengasihi Marta, Maryam dan Lazarus. 6Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.

7Kemudian Dia berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pulang ke Yudea.’

8Para pengikut-Nya menjawab, ‘Junjungan, bukankah orang Yahudi di situ baru saja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?’

9Isa berkata, ‘Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini. 10Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.’

11Kemudian Isa menambah, ‘Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.’

12Para pengikut Isa berkata, ‘Junjungan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.’ 13Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi para pengikut-Nya mengambil erti tidur yang biasa.

14Oleh itu, Isa berkata kepada mereka dengan jelas, ‘Lazarus sudah meninggal. 15Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.’

16Tomas yang disebut Didimus berkata kepada pengikut Isa yang lain. ‘Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!’

17Ketika Isa sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. 18Baitani terletak kira-kira dua batu daripada Baitulmaqdis. 19Oleh itu ramai orang Yahudi datang melawat Maryam dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus. 20Apabila Marta mendengar Isa datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maryam tinggal di rumah.

21Marta berkata kepada Isa, ‘Ya Junjungan, kalaulah Junjungan ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! 22Aku tahu, sekarang pun apa saja permintaan Junjungan akan dikabulkan Allah.’

23Isa berkata kepada Marta, ‘Saudaramu akan hidup kembali.’

24Marta menjawab, ‘Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.’

25Isa berkata kepada Marta, ‘Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. 26Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?’

27Marta menjawab, ‘Ya Junjungan, aku percaya bahawa Junjunganlah al-Masih, Putera Allah , yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.’

28Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maryam dan berbisik kepadanya, ‘Guru ada di sini. Dia memanggilmu.’ 29Maryam pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa Isa. 30(Pada waktu itu Isa belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.) 31Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maryam untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke kubur Lazarus untuk menangisinya.

32Setelah Maryam melihat Isa, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, ‘Junjungan, kalaulah Tuhan ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!’

33Ketika melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Isa sungguh hiba dan terharu. 34Dia bertanya kepada mereka, ‘Di manakah kamu kuburkan dia?’

Mereka menjawab, ‘Marilah lihat, Ya Junjungan.’

35Isa menangis.

36Semua orang Yahudi yang hadir berkata, ‘Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.’

37Namun, ada yang berkata, ‘Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?’

38Isa yang masih terharu pergi ke kubur Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar. 39Isa berkata, ‘Alihkan batu itu.’

Tetapi Marta berkata, ‘Junjungan, sudah empat hari dia dikuburkan, tentu berbau.’

40Isa berkata kepada Marta, ‘Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?’

41Mereka mengalihkan batu itu. Isa menengadah ke langit lalu berkata, ‘Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. 42Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.’

43Selepas itu, Isa berseru lantang, ‘Lazarus, keluar!’ 44Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka.

Isa berkata kepada orang ramai di situ, ‘Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.’

45Sebilangan besar orang yang datang melawat Maryam dan melihat apa yang dilakukan oleh Isa terus percaya kepada-Nya. 46Namun, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan hal itu.

Pakatan untuk membunuh Sayidina Isa al-Masih

47Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama.

Mereka berkata, ‘Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat! 48Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Rom akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!’

49Salah seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, ‘Kamu semua tidak tahu suatu apapun. 50Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?’

51Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Isa akan mati untuk bangsa Yahudi. 52Sebenarnya Isa mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh Putera Allah yang berselerak di merata-rata tempat. 53Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Isa.

54Isa tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama para pengikut-Nya.

55Menjelang perayaan Paska, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Baitulmaqdis untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu. 56Mereka mencari Isa. Ketika di rumah ibadat, mereka bertanya sesama sendiri, ‘Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?’ 57Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Isa berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.

Isa diurapi

12  1Enam hari sebelum perayaan Paska, Isa pergi ke Baitani, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian. 2Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain bertelekan di meja bersama Isa. 3Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Isa, lalu menyapu kaki Isa dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.

4Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Isa yang mengkhianati-Nya kelak berkata, 5‘Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?’ 6Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.

7Isa berkata, ‘Jangan bantah perbuatan perempuan ini. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari penguburan-Ku. 8Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.’

9Apabila orang Yahudi mendengar Isa ada di Baitani, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian. 10Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga. 11Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Isa.

Sayidina Isa memasuki Kota Baitulmaqdis

12Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut perayaan Paska mendengar bahawa Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis. 13Mereka mengambil dahan-dahan pohon palma lalu pergi mengalu-alukan Isa sambil berseru,

‘Hosana!’

‘Diberkatilah Dia yang datang

 dengan nama Tuhan, Raja Israel!’

14Isa mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya. Maka berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci,

15‘Janganlah takut. Wahai puteri Sion;

lihatlah Rajamu datang

menunggang seekor keldai muda!’

16Sewaktu itu para pengikut Isa tidak memahami erti segala ini. Setelah Isa dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka sedar bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat di dalam Kitab Suci.

17Orang yang mendengar Isa memanggil Lazarus keluar dari kubur dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberi kesaksian tentang kejadian itu. 18Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa Isa kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu. 19Orang Farisi berkata sesama sendiri, ‘Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.’

Isa memberitahu tentang kematian-Nya

20Di antara orang ramai yang pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani. 21Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, ‘Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.’ 22Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.

23Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan. 24Sesungguhnya Aku berkata kepadamu: Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah. 25Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal. 26Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.

27‘Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, “Bapa, jauhkanlah aku daripada saat penderitaan ini?” 28Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!’

Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, ‘Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.’ 29Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, ‘Guruh.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.’

30Isa berkata kepada mereka, ‘Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu. 31Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan. 32Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.’ 33Kata-kata Isa ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.

34Orang ramai berkata kepada Isa, ‘Di dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?’

35Isa menjawab, ‘Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya. 36Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak anak cahaya.’ Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.

37Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya. 38Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya:

 ‘Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?

Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?’

39Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yasyaya lagi:

40‘Dia telah membutakan mata mereka

dan menjadikan mereka keras hati,

 supaya mata mereka tidak dapat melihat,

 dan hati mereka tidak dapat mengerti,

 lalu mereka tidak berpaling kepada-Ku

 untuk Kusembuhkan.’

41Yasyaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya.

42Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Isa. Namun, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah. 43Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.

44Isa berseru, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku. 45Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku. 46Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.

47‘Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. 48Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari ahkir. 49Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya. 50Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.’

 Isa membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya

13  1Sebelum perayaan Paska, Isa tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Isa mengasihi mereka hingga ke saat akhir.

2Semasa Isa dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam, Iblis sudahpun menimbulkan niat di hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Isa. 3Isa tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya. 4Dengan demikian, Isa berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya. 5Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu membasuh kaki para pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.

6Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, ‘Junjungan, wajarkah Junjungan membasuh kakiku?’

7Isa menjawab, ‘Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.’

8Petrus berkata kepada Isa, ‘Tidak! Junjungan sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!’

Namun, Isa menjawab, ‘Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.’

9Simon Petrus berkata, ‘Junjungan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!’

10Isa berkata kepadanya, ‘Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.’ 11(Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, ‘Bukan semua yang bersih.’)

12Setelah membasuh kaki para pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya lalu bertelekan di meja dan berkata kepada mereka, ‘Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? 13Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan. 14Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. 15Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. 16Sesungguhnya Aku berkata kepadamu. seorang hamba tidak mungkin lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. 17Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.

18‘Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat di dalam Kitab Suci pasti terjadi, “Orang yang makan bersama-Ku akan berpaling menentang-Ku.”

19‘Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. 20Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menyambut orang yang Kuutus, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut-Ku, menyambut Dia yang mengutus-Ku.’ 

Isa mengatakan tentang pengkhianatan-Nya

21Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus-terang, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, salah seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’

22Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa. 23Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa bertelekan di sisi-Nya. 24Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, ‘Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.’

25Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, ‘Siapakah dia, ya Junjungan?’

26Isa menjawab, ‘Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.’ Isa pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.

27Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya.

Isa pun berkata kepadanya, ‘Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.’ 28Tidak seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Isa berkata demikian kepada Yudas. 29Beberapa orang pengikut Isa menyangka Isa menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk perayaan Paska, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka. 30Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Isa lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.

31Setelah Yudas pergi, Isa berkata, ‘Sekarang Putera Insan dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya. 32Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia di dalam diri-Nya segera.

33‘Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”

34‘Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. 35Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-Ku.’ 

Isa memperingatkan Petrus

36Simon Petrus bertanya kepada Isa, ‘Ke mana Junjungan hendak pergi?’

Isa menjawab, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.’

37Petrus bertanya lagi, ‘Junjungan, mengapa aku tidak dapat mengikut Tuhan sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Junjungan!’

38Isa menjawab, ‘Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali. 

Isa menghiburkan hati para pengikut

14  1‘Janganlah kamu bimbang. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. 2Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. 3Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. 4Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.’

5Tomas berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?’

6Isa menjawab, ‘Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. 7Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudahpun melihat-Nya.’ 

Keesaan dengan Bapa

8Filipus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.’

9Isa menjawab, ‘Sekian lama aku bersama kamu semua, belum lagi kau kenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami?” 10Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. 11Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan. 12Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. 13Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Putera-Nya. 14Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan.

Saydina Rabbani Isa menjanjikan Roh Kebenaran

15‘Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku. 16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. 17Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap dalammu dan akan ada dalam dirimu. 18Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu. 19Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab aku hidup, kamu juga akan hidup. 20Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu. 21Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.’

22Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Isa, ‘Junjungan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?’

23Isa menjawab, ‘Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. 24Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, pada hal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.

25‘Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. 26Namun, Penolong, iaitu Roh Suci yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. 27Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Usah risau dan janganlah takut.

28‘Kamu telah mendengar Aku berkata, Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.” Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku. 29Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku. 30Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa ke atas diri-Ku. 31Namun, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa.

‘Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.

 

 Pokok anggur yang benar

15  1‘Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur. 2Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya bersih dan berbuah lebih lebat lagi. 3Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu. 4Tetaplah dalam-Ku seperti Aku dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap dalam-Ku.

5‘Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap dalam-Ku dan Aku dalam-Mu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa. 6Sesiapa yang tidak tetap dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar. 7Sekiranya kamu tetap dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan. 8Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar pengikut-Ku.

Perintah supaya saling mengasihi

9‘Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. 10Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya. 11Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu. 12Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. 13Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya. 14Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan. 15Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu. 16Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka Bapa akan mengabulkan apa sahaja permohonanmu dalam nama-Ku. 17Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.

Dunia membenci Isa dan pengikut-Nya

18‘Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu. 19Andainya kamu milik dunia, dunia akan mengasihimu seperti anak-anaknya sendiri. Tetapi aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu. 20Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, “Seorang hamba tidaklah lebih besar daripada tuannya.” Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga. 21Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku. 22Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka. 23Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga. 24Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku. 25Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Taurat mereka: “Mereka membenci-Ku tanpa alasan.”

26‘Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku. 27Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.

Peringatan Sayidina Isa

16 1 ‘Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat. 2Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah. Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah. 3Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal Bapa mahupun Aku. 4Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudahpun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.

Pekerjaan Roh Suci

5‘Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tidak seorang pun antaramu bertanya, “Ke mana Aku hendak pergi?” 6Sekarang kamu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu. 7Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu. 8Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, kebenaran, dan penghakiman; 9tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku; 10tentang kebenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi; 11dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi.

12‘Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya. 13Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran, datang Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi. 14Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu. 15Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.’

16Isa berkata, ‘Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.’

Kedukaan dan kegembiraan

17Sebilangan pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Apakah maksud kata-Nya, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku”? Dia juga berkata, “Aku akan pergi kepada Bapa.” 18Mereka berkata, ‘Apakah maksud “tidak lama lagi”? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!’

19Isa tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, ‘Tadi Aku berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.” Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu? 20Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. 21Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. 22Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapapun. 23Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. 24Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.

25‘Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus-terang kepadamu tentang Bapa. 26Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu. 27Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa. 28Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.’

29Para pengikut-Nya berkata, ‘Sekarang barulah Junjungan bercakap terus-terang, tanpa menggunakan kiasan. 30Sekarang kami faham bahawa Junjungan mengetahui segala-galanya dan sesiapapun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu kami percaya bahawa Junjungan datang daripada Allah.’

31Isa berkata kepada mereka, ‘Percayakah kamu sekarang? 32Saatnya akan datang, malah sudahpun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku.

33‘Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi pancaroba; tetapi tabahkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.’


Doa
Sayidina Isa untuk pengikut-Nya

17

1 Setelah itu, Isa menengadah ke langit lalu berkata,

‘Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Putera-Mu, supaya Putera-Mu dapat memuliakan Bapa. 2Engkau telah memberi Putera-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya. 3Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Tuhan Yang Benar, dan mengenal Isa al-Masih yang Kauutus. 4Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. 5Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersamamu sebelum dunia ini diwujudkan.

6‘Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu. 7Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu. 8Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku. 9Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. 10Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka. 11Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. 12Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa, kecuali anak kebinasaan itu supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Kitab Suci.

13‘Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. 14Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan daripada dunia ini. 15Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada Si Durjana. 16Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka. 17Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran. 18Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia. 19Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran.

20‘Aku bukan berdoa untuk mereka saja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka. 21Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. 22Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu. 23Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku.

24‘Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi.

25‘Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. 26Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh di hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka.

 

Yudas mengkhianati Isa

18

1Setelah berdoa demikian, Sayidina Isa pergi diiringi para pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Isa dan para pengikut-Nya masuk ke taman itu.

2Yudas, yang mengkhianati Isa, mengetahui tempat itu juga kerana Isa kerap ke situ dengan para pengikut-Nya. 3Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh.

4Isa mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, ‘Siapakah yang kamu cari?’

5Mereka menjawab, ‘Isa orang Nasaret.’

Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Dia.’ Yudas, yang mengkhianati Isa, berdiri bersama mereka di situ. 6Apabila Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Dia,’ mereka semua undur lalu rebah ke tanah.

7Isa bertanya lagi kepada mereka, ‘Siapakah yang kamu cari?’

Mereka menjawab, ‘Isa orang Nasaret.’

8Isa berkata, ‘Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.’ 9(Dengan demikian berlakulah apa yang pernah dikatakan-Nya, ‘Tidak seorang pun yang Kauserahkan pada-Ku sesat.’)

10Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar itu sehingga putus. Nama hamba itu Malkus.

11Isa berkata kepada Petrus, ‘Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum dari cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?’

 

Isa di hadapan imam besar

12Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Isa. 13Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, Imam Besar pada tahun itu. 14Kayafaslah yang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa.

15Simon Petrus dan seorang pengikut lain ikut serta apabila Isa dibawa pergi. Oleh sebab pengikut lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Isa ke halaman rumah imam besar. 16Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, pengikut lain itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk.

17Kemudian hamba perempuan itu berkata kepada Petrus, ‘Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?’

Petrus menjawab, ‘Bukan.’

18Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri disitu dan berdiang bersama mereka.

19Imam besar menyoal Isa tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya.

20Isa menjawab, ‘Aku sentiasa bercakap terang-terangan di hadapan orang ramai. Aku sering mengajar di saumaah dan di rumah ibadat, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia. 21Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.’

22Seorang pegawai di situ menampar Isa sambil berkata, ‘Begitukah kamu bercakap kepada seorang imam besar?’

23Isa berkata kepadanya, ‘Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?’ 24Selepas itu Hanas menyuruh orang membawa Isa yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas.

 

Petrus menyangkal Isa

25Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, ‘Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?’

Petrus menjawab, ‘Bukan!’

26Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, ‘Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?’ 27Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu ayam berkokok.

 

Isa di hadapan Pilatus

28Kemudian mereka membawa Isa dari rumah Kayafas ke istana pemerintah Rom. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paska. 29Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, ‘Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?’

30Mereka menjawab, ‘Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.’

31Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, ‘Ambillah Dia, adili mengikut undang-undangmu.’

Orang Yahudi menjawab, ‘Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.’ 32Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Isa tentang cara kematian-Nya.

33Selepas itu Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Isa lalu bertanya, ‘Adakah kamu Raja orang Yahudi?’

34Isa menjawab, ‘Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?’

35Pilatus menjawab, ‘Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?’

36Isa menjawab, ‘Kerajaan-Ku bukanlah di dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku di dunia ini, tentulah para pengikut-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah di sini.’

37Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, ‘Jadi, adakah kamu seorang raja?’ Isa menjawab, ‘Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberi kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.’

38Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Apakah itu kebenaran?’ Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, ‘Aku mendapatinya tidak bersalah sama sekali. 39Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada perayaan Paska. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?’

40Mereka semua berteriak lagi, ‘Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.’ Barabas itu seorang perompak.

19

1Setelah itu, Pilatus pun membawa Isa dan mengarahkan supaya Isa disesah. 2Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Isa. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. 3Mereka datang kepada-Nya dan berkata, ‘Daulat Raja orang Yahudi!’ lalu menampar-Nya.

4Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, ‘Lihat, aku bawakan Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.’ 5Isa pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, ‘Lihatlah orang ini!’

6Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak,Salib Dia! Salib Dia!

Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kamu ambil dan saliblah Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.’

7Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami ada undang-undang, dan menurut undang-undang itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Putera Allah .’

8Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. 9Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Isa, ‘Dari manakah Kamu ini?’ Tetapi Isa tidak menjawab. 10Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?’

11Isa menjawab, ‘Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.’

12Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, ‘Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah penyokong Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.’

13Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut ‘Laman Batu’, dalam bahasa Ibrani Gabbatha. 14Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam.

Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’

15Tetapi mereka berseru, ‘Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salib Dia!’

Pilatus berkata kepada mereka, ‘Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?’

Ketua-ketua imam menjawab, ‘Kami tidak ada raja selain Kaisar.’

 

Isa disalib

16Oleh itu Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib. 17Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Isa pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, dalam bahasa Ibrani Golgota. 18Di situ mereka menyalib-Nya, bersama dua orang lain di kiri kanan-Nya.

19Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: Isa Orang Nasaret, Raja Orang Yahudi. 20Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Isa disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin. 21Ketua-ketua imam Yahudi pun berkata kepada Pilatus, ‘Janganlah tulis: “Raja orang Yahudi.” Tetapi, tulislah: “Dia berkata Dia Raja orang Yahudi.”

22Pilatus menjawab, ‘Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.’

23Setelah menyalib Isa, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.

24Oleh itu mereka berkata-kata sesama sendiri, ‘Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.’

Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci:

 

‘Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka,

dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.’

 

Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu.

25Di tepi salib Isa berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maryam isteri Klopas, dan Maryam Magdalena. 26Apabila Isa melihat ibu-Nya dan pengikut-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, ‘Lihat, itulah anakmu.’ 27Kepada pengikut-Nya Dia berkata, ‘Lihatlah ibumu.’ Sejak itu pengikut tersebut mengambil ibu Isa sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.

 

Kewafatan Isa al-Masih

28Selepas itu, Isa yang mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, lalu berkata, ‘Aku dahaga.’ 29Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah sepan dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas sebuah batang zufa dan mencecahkannya ke mulut Isa. 30Setelah Isa menerima air anggur masam itu, Dia berkata, ‘Sudah selesai’. Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan nyawa-Nya.

 

Jasad Isa ditikam

31Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi. 32Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Isa itu, seorang demi seorang. 33Tetapi apabila mereka sampai kepada Isa dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya. 34Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air. 35Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya. 36Semua ini dilakukan supaya berlakulah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Tidak satu pun tulang-Nya akan dipatahkan’. 37Juga tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.’

 

Isa dikuburkan

38Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Isa. Yusuf ialah seorang pengikut Isa secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi. 39Nikodemus, yang pernah mendapatkan Isa pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan mur dan gaharu sebanyak kira-kira seratus paun. 40Mereka mengambil jenazah Isa lalu membalut-Nya dengan kain kafan dan ramuan mengikut adat pengebumian orang Yahudi. 41Di sebuah taman di tempat Isa disalib terdapat sebuah kubur yang belum pernah digunakan. 42Oleh sebab kubur itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Isa ke dalamnya.

 

Kebangkitan Rabbani  Isa al-Masih

20

1Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maryam Magdalena pergi ke kubur itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang kubur itu. 2Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Isa lalu berkata, ‘Jenazah Junjungan telah diambil dari kubur, entah ke mana dialihkan.’

3Petrus dan pengikut lain itu pun pergi ke kubur. 4Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di kubur itu lebih dahulu. 5Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke kubur itu. 6Apabila Simon Petrus yang menyusul pengikut lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam kubur itu dan nampak kain linen terletak di situ. 7Dia juga melihat kain yang diikatkan pada kepala Isa, terlipat berasingan. 8Kemudian, pengikut lain yang sampai dahulu itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya. 9Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat di dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian.

10Selepas itu, pengikut-pengikut Isa itu pun pulang ke rumah mereka. Isa menampakkan diri kepada Maryam. 11Tetapi Maryam berdiri di hadapan kubur itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam. 12Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Isa dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki.

13Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maryam, ‘Puan, mengapa engkau menangis?’

Maryam menyahut, ‘Jenazah Junjunganku telah diambil, entah ke mana dialihkan!’ 14Kemudian Maryam menoleh lalu melihat Isa berdiri di situ, tetapi Maryam tidak mengenal-Nya.

15Isa berkata kepada Maryam, ‘Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?’

Pada sangkaan Maryam, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maryam berkata, ‘Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Isa, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.’

16Isa berkata kepadanya, ‘Maryam!’

Maryam berpaling kepada Isa lalu berseru dalam bahasa Ibrani, ‘Rabboni!’ (ertinya ‘Guru’).

17Isa berkata kepadanya, ‘Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah Tuhan-Ku dan Allah Tuhanmu.’

18Maryam pun pergi mendapatkan para pengikut Isa lalu memberitahu bahawa Dia telah melihat Junjungan dan Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya.

 

Isa menampakkan diri kepada pengikut-Nya

19Pada hari minggu itu, setelah petang, para pengikut Isa berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Isa muncul di kalangan mereka lalu berkata, ‘Sejahtera ke atas kamu!’ 20Selepas itu Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka mereka pun bersukacita melihat Junjungan.

21Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Salam sejahtera kepadamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.’ 22Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, ‘Terimalah Roh Suci. 23Sesiapa yang kamu ampunkan dosanya, dosanya diampunkan. Sesiapa yang tidak kamu ampunkan dosanya, dosanya tidak akan diampunkan.’

 

Isa menampakkan diri kepada hawariyun Tomas

24Tomas yang digelar Didimus, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, tidak ada bersama mereka apabila Isa datang. 25Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, ‘Kami telah melihat Junjungan!’

Tetapi Tomas berkata, ‘Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.’

26Seminggu selepas itu, para pengikut Isa termasuk Tomas berhimpun lagi di situ. Sungguhpun pintu terkunci seperti dahulu, Isa muncul di kalangan mereka lalu berkata, ‘Salam sejahtera kepadamu!’ 27Setelah itu Dia berkata kepada Tomas, ‘Hulurkan jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkan tanganmu dan masukkannya ke dalam rusuk-Ku. Jangan ragu-ragu lagi. Percayalah.’

28Tomas pun berkata kepada Isa, ‘Ya Junjunganku! Ya Allah Tuhanku!’

29Isa berkata kepadanya, ‘Tomas, oleh sebab kamu telah melihat-Ku maka kamu percaya. Diberkatilah orang yang percaya walaupun tidak melihat-Ku!’

 

Tujuan kitab ini ditulis

30Isa telah melakukan banyak lagi mukjizat di hadapan para pengikut-Nya, tetapi tidak dituliskan di dalam kitab ini. 31Tetapi segala yang telah dituliskan di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Isa Putera Allah , Penyelamat yang diutus Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan hidup kekal dalam nama-Nya.

 

Sayidina Rabbani Isa al-Masih menampakkan diri di Tasik Tiberias

21

1Setelah itu, Isa menampakkan diri sekali lagi kepada para pengikut-Nya, di Tasik Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku: 2Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Isa yang lain, sedang berhimpun di situ. 3Simon Petrus berkata kepada mereka, ‘Aku hendak pergi menangkap ikan.’ Mereka berkata kepadanya, ‘Kami hendak pergi bersama-sama.’ Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka.

4Ketika matahari terbit, Isa berdiri di pantai, tetapi mereka tidak mengenal-Nya.

5Isa bertanya kepada mereka, ‘Anak-anak, kamu ada ikan?’

‘Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,’ jawab mereka.

6Isa berkata kepada mereka ‘Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.’ Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali.

7Oleh itu pengikut yang dikasihi oleh Isa berkata kepada Petrus, ‘Itu Junjungan!’ Setelah mendengar bahawa Junjungan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya untuk bekerja) lalu terjun ke dalam air. 8Para pengikut lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira seratus meter (dua ratus ‘cubits’). 9Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada.

10Isa berkata kepada mereka, ‘Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.’

11Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, 153 ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak. 12Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah bersarapan.’ Tiada seorang pun yang berani bertanya, ‘Siapakah Tuan?’ kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Junjungan. 13Isa pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan. 14Itulah kali ketiga Isa menampakkan diri kepada para pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.

 

Sayidina Isa meneguhkan hati Petrus

15Selepas sarapan bersama-sama, Isa bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?’

Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’

Isa berkata kepadanya, ‘Berilah anak-anak domba-Ku makan.’

16Bagi kali kedua Isa bertanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?’

Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’

Isa berkata kepadanya, ‘Peliharalah domba-domba-Ku.’

17Bagi kali ketiga Isa bertanya kepadanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu mengasihi-Ku?’

Petrus sedih kerana Isa bertanya kepadanya bagi kali ketiga, lalu dia menjawab, ‘Junjungan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!’

Isa berkata kepadanya, ‘Berilah domba-domba-Ku makan. 18Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.’ 19Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, ‘Ikutlah Aku!’

 

Pengikut yang dikasihi Isa

20Petrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk dekat dengan Isa ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, ‘Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?’ 21Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, bagaimana dengan orang ini?’

22Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.’ 23Oleh itu tersebarlah di kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?’

 

Kata penutup

24Pengikut itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menuliskan semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar. 25Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Isa. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.


 


Indeks Utama